Datuk Seri Mohamed Khaled ketika melakukan lawatan kerja ke Rejimen Keempat Artileri Diraja Kem Segamat, di Segamat hari ini.

SEGAMAT – Sebanyak RM10 juta diperuntukkan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) dalam tahun ini untuk manfaat 1,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan program intervensi itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab Mindef bertujuan memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup veteran tentera terus terbela.

Melalui program WBL, segala pengalaman dan kepakaran anggota sepanjang berkhidmat dalam ATM akan dinilai serta diiktiraf secara formal dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Pengiktirafan inu membolehkan anggota dianugerahkan diploma yang selari dengan kepakaran mereka seperti diploma kulinari, hospitaliti, jurulatih sukan, dan pengurusan tanpa perlu menduduki peperiksaan formal,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Rejimen Keempat Artileri Diraja Kem Segamat, di sini hari ini.

Katanya, sebahagian besar anggota masuk tentera dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan apabila pencen pada umur 41 atau 42 tahun, mereka keluar mencari pekerjaan juga menggunakan SPM, sekali gus menyukarkan mereka bersaing dalam pasaran luar.

Jelasnya, melalui program WBL sekurang-kurangnya mereka keluar dengan diploma yang kos penilaian RM6,500 setiap individu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Mindef turut mengubah pendekatan latihan peralihan yang dikendalikan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perdebat) dengan mengorientasikannya secara terus bersama pihak industri.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan setiap anggota yang tamat menjalani latihan peralihan selama enam bulan akan terus diserap ke dalam sektor pekerjaan bersesuaian tanpa perlu mencari pekerjaan sendiri dengan pendapatan yang bermaruah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast