JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempertimbangkan satu reformasi perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, ia melibatkan skim perlindungan kesihatan nasional yang merangkumi perlindungan kemalangan dan rawatan penyakit.
“Kami mencadangkan kadar caruman pekerja ditetapkan pada kadar asas 0.25 peratus daripada gaji bulanan manakala majikan menyumbang 0.75 peratus daripada gaji.
“Pada masa yang sama, kerajaan perlu menyediakan insentif cukai kepada majikan serta subsidi tertentu bagi memastikan skim ini dapat dilaksanakan tanpa membebankan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, melalui cadangan itu, pekerja bergaji RM3,000 akan menyumbang sekitar RM30 sebulan pada 2026 dengan majikan menyumbang RM22.50, menjadikan jumlah keseluruhan RM52.50.
Jumlah itu katanya, meningkat kepada RM60 pada 2027 dan RM67.50 pada 2028.
Jelasnya, bagi pekerja bergaji RM6,000 pula, jumlah keseluruhan caruman adalah RM105 pada 2026, RM120 pada tahun 2027 dan RM135 pada 2028.
Bagaimanapun, Pejuang Johor turut mengakui bahawa kos perlindungan perubatan swasta pada masa ini adalah tinggi.
“Premium insurans berkumpulan bagi pelan asas hospital dan pembedahan dianggarkan sekitar RM80 hingga RM120 sebulan bagi individu berumur 30 hingga 35 tahun dan boleh meningkat kepada RM150 hingga RM250 sebulan bagi mereka yang berumur antara 40 hingga 50 tahun,” katanya.
Bagi kad perubatan persendirian pula, beliau berkata, premium lazimnya berada dalam lingkungan RM150 hingga RM300 sebulan.
Justeru katanya, skim perlindungan kesihatan yang benar-benar berkesan tidak boleh bergantung kepada caruman pekerja sahaja.
Katanya, ia mesti disokong sumbangan majikan, subsidi kerajaan serta kawalan harga rawatan hospital swasta supaya kos rawatan dapat dikawal dan kekal mampu milik.
Dengan pendekatan itu kata beliau, pekerja tidak lagi perlu menanggung dua perlindungan berasingan.
“Mereka boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta panel dengan kos yang lebih terkawal, manakala tekanan terhadap hospital awam dapat dikurangkan melalui pengagihan pesakit yang lebih seimbang.
Pejuang Negeri Johor juga berpendapat, perlindungan kesihatan perlu diteruskan sehingga umur persaraan 60 tahun dan kekal aktif walaupun seseorang pekerja kehilangan pekerjaan melalui penyelarasan bersama Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).
Dakwanya, cara itu akan memastikan rakyat terus mendapat perlindungan ketika menghadapi saat paling sukar dalam kehidupan mereka.
Pejuang Johor percaya perlindungan sosial sebenar bukan sekadar memberi pampasan selepas kemalangan berlaku, tetapi memastikan rakyat mempunyai akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti tanpa dibebani kos yang melampau.
Kerajaan dan Perkeso katanya, perlu berani melakukan reformasi yang lebih menyeluruh demi kepentingan pekerja Malaysia.
Rakyat tidak memerlukan satu lagi skim yang memaksa mereka membayar lebih untuk perlindungan yang terhad, katanya.
Tambahnya, rakyat memerlukan sistem perlindungan yang adil, mampan dan benar-benar melindungi mereka daripada risiko kemalangan, penyakit, kehilangan pekerjaan dan cabaran kehidupan selepas persaraan.
“Perlindungan sosial yang sebenar bukan separuh jalan. Jika rakyat diwajibkan mencarum, maka perlindungan yang diberikan juga mesti menyeluruh,” ujarnya.
Pejuang Johor memandang serius pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam (PA) Perkeso yang mula diwajibkan pada 1 Jun 2026.
“Walaupun usaha memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja adalah langkah yang baik, skim ini dilihat tidak menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Bermula 2026, pekerja diwajibkan mencarum tambahan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji bulanan, meningkat kepada 1.0 peratus pada 2027 dan 1.25 peratus pada 2028.
“Ini bermakna pekerja bergaji RM3,000 perlu mencarum RM22.50 sebulan pada 2026 dan meningkat kepada RM37.50 menjelang 2028, manakala pekerja bergaji RM6,000 perlu mencarum RM45 sebulan pada 2026 dan RM75 sebulan pada 2028.
“Malangnya, walaupun pekerja dipaksa menanggung caruman tambahan tersebut, perlindungan yang diberikan hanya melibatkan kemalangan,” katanya.
Pada masa yang sama katanya, pekerja masih perlu membeli insurans perubatan atau kad perubatan persendirian bagi mendapatkan perlindungan terhadap penyakit kronik, penyakit kritikal dan kos rawatan hospital yang semakin meningkat.
Akibatnya kata Zainuddin, rakyat terpaksa membayar dua bentuk perlindungan berasingan sedangkan masalah utama yang membelenggu mereka hari ini ialah kos rawatan penyakit dan kesesakan hospital awam, bukannya kemalangan semata-mata.- MalaysiaGazette
















