Mahkamah Pontian.

PONTIAN – Gara-gara tidak memakai apron ketika mengendalikan makanan di sebuah premis makanan di Benut di sini, seorang pengendali makanan didenda RM500 di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurhafizah Haron menjatuhi hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS) iaitu seorang wanita berusia 26 tahun yang mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara satu minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati mengendalikan makanan tanpa memakai apron di premis makanan dekat Benut di sini, pukul 4 petang, pada 26 Januari lalu.

OKS didakwa di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohd Mirdza Abu Hassan.

Difahamkan, OKS telah menjelaskan denda berkenaan, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pemakaian pakaian pelindung diri seperti apron adalah antara keperluan asas kebersihan yang wajib dipatuhi oleh setiap pengendali makanan bagi mengurangkan risiko pencemaran makanan dan memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.

“KKM akan terus memperhebat aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas premis makanan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa mematuhi kehendak Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 demi kepentingan kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast