Aktiviti brisk walk bersama Naib Canselor UTHM, Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Program MUST MOVE Merdeka Bersama Komuniti menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 dengan membawa warga universiti dan komuniti setempat bersama-sama menghayati erti kemerdekaan menerusi aktiviti kecergasan, kebersamaan dan jalinan persaudaraan.

Program berlangsung di Dataran Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk dan berakhir di Dewan Terbuka, Taman Universiti itu dianjurkan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) serta Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).

Penglibatan warga kampus dan komuniti setempat dalam program tersebut memperlihatkan komitmen UTHM untuk terus mendekati masyarakat yang menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti, khususnya komuniti di sekitar Parit Raja yang mempunyai hubungan rapat dengan UTHM dari aspek sosial, pendidikan dan kemasyarakatan.

Program dimulakan dengan sesi regangan dan senamrobik sebelum peserta menyertai aktiviti brisk walk bersama Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, sebagai usaha menyemarakkan budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga universiti serta komuniti.

Dr. Mas Fawzi dalam ucapannya berkata program seumpama itu mungkin kelihatan sederhana, namun membawa mesej besar tentang kepentingan menjaga kesihatan diri sebagai asas kepada kesejahteraan dan prestasi kerja.

“Program seperti ini mungkin kelihatan ringkas, kita berkumpul, bergerak, berjalan, bersenam dan bertegur sapa sesama kita. Namun, di sebalik aktiviti ini terdapat satu mesej yang sangat besar, iaitu kepentingan menjaga kesihatan.

“Dalam kita menjaga prestasi dan kualiti kerja, jangan sesekali lupa, kita juga perlu menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.

Menurut beliau, aktiviti kecergasan perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kehidupan dan budaya kerja warga UTHM, bukan sekadar program yang disertai secara bermusim.

“Kerana itulah, saya ingin mengajak seluruh warga UTHM untuk menjadikan aktiviti kecergasan ini bukan sebagai aktiviti bermusim atau sekadar program yang perlu disertai sahaja, tetapi sebagai sebahagian daripada budaya hidup dan budaya kerja kita,” katanya.

Dalam konteks penglibatan komuniti pula, beliau menegaskan, semangat kemerdekaan perlu diraikan secara bersama kerana universiti tidak pernah terpisah daripada masyarakat di sekelilingnya.

Katanya, semangat jiwa merdeka bukan hanya tentang kebebasan yang diwarisi, tetapi turut diterjemahkan melalui kesediaan untuk membina masyarakat yang sihat, bersatu padu, saling menyokong dan bergerak bersama ke arah masa depan yang lebih baik.

Kemuncak program menyaksikan penyerahan bendera Malaysia daripada Naib Canselor UTHM kepada wakil pemimpin komuniti, Zamri Musa yang menjadi simbolik kepada penyaluran semangat kemerdekaan daripada universiti kepada masyarakat setempat.

Penyerahan bendera tersebut bukan sekadar simbolik sebuah acara, tetapi membawa mesej semangat kemerdekaan adalah milik bersama dan perlu terus disemarakkan dalam setiap lapisan masyarakat.

Ia turut menggambarkan iltizam UTHM untuk menjadi universiti yang bukan sahaja membangunkan ilmu, teknologi dan bakat, tetapi turut hadir bersama komuniti, berkongsi aspirasi dan membina kesejahteraan secara bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here