Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki disaran menjadi pimpinan UMNO pertama yang ‘direhatkan’ susulan isu yang dibangkitkan berhubung siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan sebarang siasatan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH dapat berjalan tanpa persepsi gangguan atau konflik kepentingan.

Menurutnya, tempoh Asyraf Wajdi dalam kerajaan turut merangkumi tempoh yang menjadi perhatian dalam isu berkaitan RCI TH, justeru beliau perlu bersedia menjawab persoalan mengenai tanggungjawab politik, peranan serta pengetahuan berhubung perkara yang berlaku ketika itu.

“RCI menyebut wujud transaksi mencurigakan, penyembunyian maklumat, kelemahan proses membuat keputusan pelaburan dan kegagalan tadbir urus. RCI juga mencadangkan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.

“Saya tidak menuduh Asyraf Wajdi melakukan kesalahan jenayah. Itu mesti ditentukan melalui siasatan dan bukti.

“Tetapi dari sudut tanggungjawab politik, saya fikir beliau tidak boleh hanya meminta orang lain bertanggungjawab. Beliau sendiri mesti bersedia dikenakan standard yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Shafiq turut mempersoalkan sama ada prinsip Asyraf Wajdi sebelum ini bahawa ‘jangan lindungi sesiapa dan pihak yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan’ turut terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.

“Kalau benar jangan lindungi sesiapa, maka jangan juga ada pengecualian kepada mana-mana pimpinan politik, termasuk diri sendiri.

“Kalau beliau benar-benar percaya ‘jangan lindungi sesiapa’, maka saya cabar beliau untuk menunjukkan prinsip itu dengan dirinya sendiri.

“Jika siasatan mendapati beliau mempunyai tanggungjawab atau keterlibatan dalam perkara yang sedang disiasat, beliau perlu tampil dan bertanggungjawab.

“Jangan minta orang lain bertanggungjawab kalau kita sendiri belum bersedia untuk bertanggungjawab. Itulah ukuran sebenar integriti,” katanya.

Exco AMK, Amira Alias
Exco AMK, Amira Alias

Sementara itu, Exco AMK, Amira Alias berkata, beliau bersetuju dengan saranan wakil Negeri Sembilan pada Kongres Nasional PKR 2026, Mohd. Shariman Che Deris, yang meminta Perdana Menteri mempertimbangkan penggantian Pengerusi MARA dengan individu lain.

Katanya, saranan itu dibuat atas alasan pemimpin UMNO berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan tempoh yang menjadi perhatian dalam isu RCI TH, sekali gus boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan.

“Integriti yang sebenar bukan melindungi orang sendiri, bukan menghukum orang sebelum terbukti bersalah, tetapi berani meletakkan prinsip di atas kepentingan politik.

“Asyraf Wajdi sendiri sebelum ini pernah berkata bahawa pihak yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan tiada siapa yang patut dilindungi.

“Jadi secara politik, sangat munasabah untuk kita menuntut konsistensi antara prinsip yang beliau nyatakan dengan tindakan apabila siasatan menyentuh lingkungan kepimpinan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. nampak sangat akar umbi pkr ni bodoh lagi otak lembu. masalah th ni berlaku pada masa ph 1.0. tanyalah mentrri kewangan tempoh tu. bahalol

Comments are closed.