PEKANBARU – Remaja berdepan dengan pelbagai cabaran sosial, emosi dan pembentukan identiti.
Menurut pendedahan rasmi oleh Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, hasil saringan menerusi Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Cek Kesehatan Gratis / CKG) bagi tempoh 2025 hingga 2026 mendedahkan hampir 10 peratus daripada kira-kira 7 juta kanak-kanak dan remaja di Indonesia dikesan mengalami masalah kesihatan jiwa.
Gejala kebimbangan dan kemurungan yang dikesan dalam jumlah signifikan ini menjadi amaran jelas bahawa langkah pencegahan serta sokongan emosi perlu disalurkan dengan kadar segera.
Menyahut cabaran krisis kesihatan mental yang dijuluki “The Silent Storm” atau badai senyap ini, Kelab Prime Mover UiTM, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menganjurkan Program Remaja Holistik di SMA Negeri 1 Pekanbaru, Indonesia pada 14 Ogos 2026.
Seramai 25 mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membimbing 85 pelajar dari lingkungan usia 15 hingga 17 tahun.
Program Remaja Holistik merupakan inisiatif sukarelawan antarabangsa yang dilaksanakan di bawah payung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Inisiatif ini selaras dengan komitmen UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga peka terhadap isu sosial dan pembangunan komuniti global.
Kerjasama rentas negara ini mengukuhkan hubungan diplomatik pendidikan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang pembangunan remaja.
Program ini memfokuskan kepada pembangunan remaja selaras dengan modul yang dibentangkan semasa program.
Antaranya Modul Perkembangan Diri dan Transformasi Remaja yang menekankan pembangunan sahsiah, identiti positif dan nilai murni.
Pada masa yang sama, Modul Kesihatan Mental Remaja merangkumi pengurusan tekanan emosi dan kesejahteraan psikologi. Di samping itu, Modul Seksualiti Remaja memberikan pendedahan mengenai pendidikan seksual yang sihat dan bertanggungjawab.
Akhir sekali, Modul Motivasi dan Bimbingan Diri Remaja yang bertujuan membangunkan semangat, cita-cita dan daya tahan menghadapi cabaran.
Melalui sesi perkongsian ilmu yang disampaikan secara berstruktur dan sistematik, setiap modul dirangka khusus untuk memastikan peserta menerima pendedahan menyeluruh tentang aspek-aspek penting dalam kehidupan remaja.
Penyampaian yang komprehensif, interaktif dan mudah difahami membenarkan pelajar menerapkan pengetahuan yang diberikan agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka, sekaligus membina kesedaran kendiri tentang kepentingan menjaga kesejahteraan diri dari aspek fizikal, mental dan emosi.
Penasihat Kelab Prime Mover, Khairolizwan Harry, menekankan bahawa kecemerlangan akademik yang holistik tidak akan mampu dicapai sekiranya moral dan sahsiah pelajar merosot akibat pengaruh gejala sosial.
“Program seperti ini dapat memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selain melahirkan sukarelawan yang lebih prihatin terhadap isu semasa melibatkan remaja.
“Setiap pengalaman dalam program ini mengukuhkan nilai kepemimpinan dan empati dalam diri mahasiswa, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi agen perubahan,” katanya.
Pengarah Program Remaja Holistik, Muhammad Zulhusni Mohd Shahrizan, menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan pengetahuan, malah menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan ukhuwah serta membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar serantau.
“Kami berharap pendedahan menerusi modul-modul yang disediakan dapat memberi impak secara langsung kepada para pelajar dalam menguruskan cabaran kesihatan mental, emosi dan sosial secara matang. Program ini membuktikan bahawa peranan belia sebagai pemangkin perubahan amat signifikan dalam menyokong serta memperkasa satu sama lain melepasi sempadan negara,” jelas beliau.
Bumi SMA Negeri 1 Pekanbaru menjadi saksi bukti komitmen mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dari Malaysia dalam memperkasa pembangunan remaja di peringkat global.
Penumpuan Program Remaja Holistik terhadap pembentukan diri, kesihatan mental, seksualiti dan motivasi remaja ini berupaya memberi impak positif jangka panjang kepada generasi muda. Usaha ini selaras dengan aspirasi SDG dalam memastikan masa depan setiap anak muda terbela, tanpa mengira jurang antara bandar dan luar bandar. -MalaysiaGazette
















