KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperuntuk dana tahunan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memperkukuh pembangunan sukan itu khususnya peringkat akar umbi.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan PBAAM telah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13 Ogos lalu dan Lembaga Pengurusan MSN bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.
Menurutnya, pencapaian di Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini telah membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan melakar kejayaan.
“Sukan angkat berat telah berjaya membawa pulang tujuh pingat iaitu lima emas, satu perak dan satu gangsa sekali gus menjadi penyumbang pingat terbesar kepada Kontinjen Negara pada temasya tersebut.
“Justeru, bantuan dan penambahbaikan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian semasa tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem sukan angkat berat yang lebih kukuh.
“KBS dan MSN kekal komited untuk memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara dan akan terus bekerjasama rapat dengan PABM bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang akhirnya akan dapat mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan PABM di International Youth Centre di sini hari ini.

Mohammed Taufiq menambah, menerusi peruntukan tambahan lebih RM1 juta itu, MSN dan PABM antaranya bersetuju untuk menaik taraf kemudahan di Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang dengan cadangan untuk menjadikannya sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan.
Kata beliau, kedua-dua pihaknya akan melantik jurulatih sepenuh masa untuk ditempatkan di Pusat Latihan Angkat Berat Rompin yang akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan atlet wanita.
Pada masa sama, katanya, kuota atlet angkat berat di bawah Program Pelapis MSN ditamabh selepas temasya SUKMA Selangor 2026 dengan keutamaan kepada atlet yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi serta memenuhi paiwaian pemilihan yang ditetapkan.
“MSN dan PABM juga akan kelantik pegawai strength & conditioning sepenuh masa untuk skuad angkat berat negara, bagi menyokong aspek pembangunan fizikal, prestasi dan persediaan atlet secara lebih sistematik.
“Selain itu, peruntukan turut melibatkan penyelarasan penganjuran Kejohanan Bakat Angkat Berat melibatkan atlet negeri melalui PABM sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pencarian dan pembangunan bakat.
“Peruntukan tambahan juga akan memperkasa pembangunan jurulatih dan pegawai teknikal termasuk memperbanyakkan pelaksanaan kursus bagi meningkatkan bilangan serta kompetensi tenaga kejurulatihan dan pegawai teknikal.
“Selain itu, MSN dan PABM juga akan mengadakan perbincangan secara berkala berhubung keperluan jurulatih bagi program di bawah MSN,” katanya. – MalaysiaGazette

















