JOHOR BAHRU – Tular video seorang pemandu dipercayai warga Singapura melakukan provokasi terhadap dua anggota polis dalam kejadian tolak-menolak di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam semalam.
Video berdurasi 16 saat itu memaparkan kejadian lelaki dikatakan warga asing menolak dan hampir menendang seorang daripada dua anggota polis trafik sebelum berjaya ditenangkan.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima video tular berkenaan yang memaparkan kejadian seorang lelaki menghalang penjawat awam iaitu dua anggota polis trafik menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, sebelum itu pihak IPD terbabit mengesahkan menerima laporan polis berkenaan kejadian pergaduhan di tepi jalan sebelum masuk ke BSI.
Jelasnya, laporan polis berkenaan diterima pukul 12.37 tengah malam semalam daripada pegawai polis yang bertugas di pusat kawalan setelah menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut daripada orang awam.

“Hasil siasatan awal punca pergaduhan berlaku adalah disebabkan oleh perselisihan faham di jalan raya melibatkan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing dengan menggunakan senjata.
“Semasa proses untuk menenangkan salah seorang suspek iaitu seorang lelaki warganegara asing oleh dua anggota polis trafik BSI, suspek tersebut membuat provokasi terhadap anggota polis trafik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat antara pukul 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi, pegawai dan anggota cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama-sama anggota polis trafik BSI melakukan tangkapan.
Menurut beliau, tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing berumur lingkungan 25 tahun hingga 46 tahun diberkas untuk membantu siasatan.
Pihaknya turut merampas barang kes iaitu satu topi keledar dan satu bilah pisau.

Jelasnya, semakan rekod lampau ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada empat suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas tiga suspek dapati negatif dadah.
Tambahnya, permohonan reman ke atas ke empat-empat suspek dilakukan di Mahkamah Majistret sini hari ini dan dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Tambahnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video berkenaan dalam media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette
















