Datuk Dusuki Ahmad.

KUALA LUMPUR – Label seperti `sakau’, `rompak’ dan `pengkhianat’ dalam isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak wajar dilemparkan secara sewenang-wenangnya sebelum dibuktikan melalui proses undang-undang yang sah.

Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad berkata, pihaknya turut menolak budaya fitnah, tuduhan melulu dan hukuman media dalam membicarakan isu melibatkan TH.

Sebaliknya, ujar beliau, isu itu wajib ditangani berasaskan prinsip amanah, tabayyun dan keadilan.

Ini kerana, tambahnya, TH bukan sekadar institusi kewangan, tetapi amanah besar umat Islam yang berkait dengan simpanan pendeposit, ibadah haji dan keyakinan masyarakat terhadap institusi Islam negara.

“Islam menuntut umatnya melakukan tabayyun, bukan menghukum berdasarkan sangkaan, kebencian atau persepsi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambah beliau, Majlis Ulama UMNO juga menyeru agar mana-mana pihak tidak menunggang isu RCI TH untuk kepentingan politik sempit atau membina persepsi liar yang boleh menggugat keyakinan pendeposit.

Ujarnya, RCI sepatutnya menjadi jalan mencari kebenaran, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh institusi, bukan medan dendam politik atau alat untuk menghakimi mana-mana pihak secara terpilih.

Dalam masa sama, tegas beliau, Majlis Ulama UMNO menegaskan bahawa UMNO tidak akan mempertahankan sebarang salah laku sekiranya terbukti berlaku.

“Jika terdapat unsur rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa atau pengkhianatan amanah, maka perkara tersebut hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk disiasat dan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang, tanpa mengira kedudukan mana-mana individu,” katanya.

Tambah Dusuki, Majlis Ulama UMNO turut berpandangan bahawa kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh mengenai status terkini penstrukturan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Katanya, ia termasuk kedudukan sukuk, prestasi aset yang dipindahkan, bayaran kepada TH dan kesannya kepada pendeposit.

Tambah beliau, penjelasan itu penting supaya rakyat tidak hanya menerima gambaran separuh jalan, sebaliknya memahami kedudukan sebenar institusi TH selepas proses penstrukturan tersebut.

“Keutamaan terbesar ialah memastikan TH terus kukuh, diyakini dan mampu melaksanakan peranannya membantu umat Islam menunaikan ibadah haji.

“Hibah pendeposit, bantuan kewangan haji, kos menunaikan haji dan kestabilan simpanan umat mesti terus dilindungi,” katanya.

Atas dasar itu, tambah beliau, Majlis Ulama UMNO menyeru semua pihak menjaga adab dalam membicarakan isu TH.

“Tegakkan kebenaran, ambil tindakan jika terbukti salah, perbaiki kelemahan jika ada, tetapi hentikan fitnah dan politik persepsi yang akhirnya boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap institusi mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here