Jalur Gemilang dan bendera Johor yang dipasang terbalik di Kawasan SILC, Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Sebanyak tiga kertas siasatan di seluruh Johor dibuka membabitkan isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berkenaan sebelum merujuk ke pejabat Jabatan Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.

“Tiga kes dilaporkan itu membabitkan siasatan di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, IPD Iskandar Puteri dan IPD Johor Bahru Selatan.

“Setakat ini, kita ada tiga kes dan kita membuka siasatan bagi ketiga-tiga kes ini. Setakat ini juga, lima individu sudah ditahan bagi membantu siasatan dalam tiga kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Katanya, kertas siasatan yang sudah dilengkapkan kelak akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapat satu keputusan atau tindakan lanjut.

Premis perniagaan terbabit diarah menghentikan operasi serta-merta

Jelas Chuan Huat, bagi kes di IPD Kulai, dua individu ditahan iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 48 tahun.

Sementara itu, di IPD Johor Bahru Selatan ujarnya, melibatkan dua lelaki berusia 25 dan 43 tahun, manakala di IPD Iskandar Puteri membabitkan tangkapan seorang lelaki berusia 56 tahun yang semuanya adalah kakitangan premis terbabit.

Dalam pada itu, Chuan Huat mengingatkan semua pemilik premis atau penyelia dan individu yang dipertanggungjawabkan untuk sentiasa memantau serta menyelia kedudukan bendera selepas dipasang.

“Penyeliaan kena dibuat. Apa yang kita lihat dalam isu pemasangan bendera ini biasanya pekerja warga asing. Warga asing, mereka tidak tahu.

“Sepatutnya sebagai pemilik atau orang bertanggungjawab untuk memasang bendera ini, perlu tunjuk cara-cara untuk pemasangan yang betul dan selepas pemasangan sekurang-kurangnya penyeliaan dibuat seperti ambil gambar, hantar kepada penyelia yang bertanggungjawab untuk melihat sama ada betul atau tidak betul,” katanya.

Tular sebuah kilang dalam kawasan perindustrian di Kulai memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

Semalam Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengarahkan kilang di kawasan Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC), di sini yang memasang bendera Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik dihentikan operasi serta-merta.

MBIP juga mendapati kilang berkenaan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta turut dikenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen.

Pada Isnin lalu, Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta-merta operasi sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, Kulai, atas kesalahan yang sama.

Polis kemudian menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana terlibat memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here