KUALA LUMPUR – Kehadiran warga asing di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak bermaksud mereka sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
Sebaliknya, premis itu menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan.
JPN menegaskan demikian susulan hantaran di media sosial yang mengaitkan perkara itu dengan urusan kad pengenalan.
Menurut JPN, antara perkara yang sering menimbulkan kekeliruan ialah pendaftaran kelahiran anak kepada ibu bapa bukan warganegara yang disalah anggap sebagai proses pemberian kewarganegaraan Malaysia.
“Sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia. Ia bukan bukti bahawa individu tersebut merupakan warganegara Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
JPN menjelaskan, sijil berkenaan turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
Ini kerana katanya, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu atau bapa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya lagi, pendaftaran kelahiran penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan.
Selain pendaftaran kelahiran, terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang sememangnya melibatkan bukan warganegara, termasuk pendaftaran perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
Justeru, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di premis JPN atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
JPN turut mengingatkan masyarakat supaya menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan tepat, bukannya membuat andaian berdasarkan gambar atau rakaman video yang tidak jelas. – MalaysiaGazette
















