MELAKA – Rakyat Melaka mahu program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dijadikan acara bulanan bagi memudahkan penduduk mengemukakan aduan tanpa sebarang kerenah birokrasi.
Menurut mereka, HEBAT dianggap pusat sehenti kepada rakyat apabila semua wakil rakyat, jabatan dan agensi kerajaan membuka kaunter aduan di bawah satu bumbung.

Seorang pemandu lori, Noor Hidayah Fazrianna Abdul Karim, 36, memuji pendekatan kerajaan negeri melaksanakan HEBAT yang banyak membantu rakyat negeri itu.

“HEBAT sangat-sangat bagus kerana semua pihak terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan sebagainya.
“Di sini rakyat boleh terus jumpa wakil-wakil rakyat untuk adukan masalah mereka tanpa protokol atau temu janji,” katanya yang membuat aduan berkaitan bantuan JKM.
Noor Hidayah Fazrianna ditemui pada program HEBAT di pantai Tanjung Bidara pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara hari ini.
Pada program HEBAT itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut membuka kaunter aduan rakyat di bawah portfolio Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Bagi seorang suri rumah, Rohaizah Muin, 60, HEBAT juga menjadi medan rakyat meluahkan masalah atau rasa tidak puas hati berhubung sesuatu perkara.
Pada program itu, katanya, orang ramai dapat menerima penjelasan pihak berkaitan dan menjawab segala isu yang kurang difahami rakyat.
“Saya sendiri dapat menerima penjelasan pihak berkaitan selepas saya luahkan apa yang terpendam selama ini,” katanya.
Seorang pemandu teksi, Mohd Salleh Kadiron, 65, pula berkata, pendekatan turun padang oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh seperti HEBAT wajar diteruskan.

Jelasnya, adalah sukar rakyat bawahan seperti dirinya untuk ke Pejabat Ketua Menteri mengadukan apa juga masalah.
“Pendekatan yang dilakukan ini amat bagus untuk rakyat bertemu secara terus dengan pemimpin negeri mengadukan masalah,” jelasnya.
Seorang penganggur, Anuar Md Zain, 40, dari Jasin di sini berkata, pertemuan empat mata dengan pemimpin pada program HEBAT dapat memberi keyakinan kepada penduduk dalam menyelesaikan masalah mereka.
“Saya sendiri dapat bertemu empat mata dengan Ketua Menteri bagi mengadukan masalah saya dan beliau mengambil perhatian serius selain akan berusaha menyelesaikannya,” ujarnya. – MalaysiaGazzette
















