KUALA LUMPUR – Ahmad Sabri Ariffin, iaitu bapa Elfira Loy, mahu Suffian Suhaimi berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi putus tunang bagi menjaga hati semua pihak.
Ahmad Sabri berkata, sejak kebelakangan ini, beliau mendapati Sufian kerap mengulas isu berkenaan sedang keluarga kedua-dua belah pihak sepakat untuk tidak memanjangkan perkara itu, apatah lagi membuat kenyataan kepada media.
“Sejak cincin tunang dipulangkan kepada keluarga Sufian di Muar, Johor pada 18 Februari lalu, saya fikir, hal ini tidak akan berpanjangan.
“Malah, bapa saudara yang mewakili keluarga Sufian ketika itu pun berharap tak perlu diperbesar dan dipanjangkan lagi isu putus tunang ini.
“Namun, perkara di sebaliknya terjadi. Saya lihat Sufian terus bercerita dan anak saya, hanya beberapa kali memberi kenyataan. Saya fikir, kenapa dia perlu ‘main’ lagi isu itu?
“Anak saya juga tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu. Bagi saya, ayah atau bapa saudara Sufian elok menasihatinya supaya tidak memanjangkan perkara itu… Benda ini sudah tamat,” katanya kepada BH Online.
Bulan lalu, dunia hiburan kecoh apabila Filzah Yusoff iaitu ibu pelakon Elfira, mengesahkan pertunangan anaknya dengan penyanyi lagu Terakhir itu, putus.
Mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober, spekulasi ikatan pasangan ini goyah mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.
Sebaik Sufian mengakui berita ikatan pertunangan dengan pelakon itu putus, spekulasi mula bertebaran mengenai punca pasangan ini berubah hati. Penyanyi itu juga dilihat beberapa kali mengulas isu berkenaan kepada media sedangkan Elfira lebih banyak berdiam diri.
Ahmad Sabri berkata, beliau bagaimanapun faham tugas wartawan untuk mendapatkan bahan berita.
“Sufian boleh cakap ‘tidak’ dan jangan lagi memberi komen. Saya kurang pasti apakah semua ini strategi Sufian dan pihak pengurusannya yang mahu mempromosikan lagu baharunya.
“Selepas memulangkan cincin, saya yakin dan percaya keluarga kedua-dua belah pihak menerima ketentuan ini dengan lapang dada. Hal jodoh dan pertemuan itu milik Allah,” katanya. – MalaysiaGazette