Osman Sapian menerima watikah lantikan sebagai Menteri Besar Johor daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-16 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada jam 3.06 petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam upacara yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda serta suami kepada Tunku Tun Aminah Maimunah. Dennis Muhammad Abdullah.

Tuanku Sultan Ibrahim dalam titahnya bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar dan memberi nasihat dari masa ke semasa.

Baginda turut mengingatkan Osman agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan memastikan Bangsa Johor sentiasa bersatu.

Osman, 67, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Johor dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor dalam PRU14 manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

Osman sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal sebelum digugurkan daripada bertanding pada tahun 2013.

Antara yang hadir termasuk Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Presiden PAN Johor Aminolhuda Hassan. – MalaysiaGazette