rafizi
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR- Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli meminta kerajaan supaya melaksanakan semula apungan harga minyak mingguan seperti yang dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Jelasnya, formula pengiraan harga minyak mingguan membolehkan harga RON95 diturunkan sebanyak 20 sen untuk beberapa minggu akan datang berikutan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak terutamanya minggu ini.

“Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Malah rakyat tidak tahu pun bahawa kerajaan persekutuan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan,” katanya dalam sepucuk surat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

Surat tersebut disiarkan dalam hantaran bertajuk Harga Minyak: Semakan Secara Mingguan” di blognya rafiziramli.blogspot.com.

Jelas Rafizi, kejatuhan mendadak harga minyak mentah terutamanya pada minggu ini memerlukan formula harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan disemak mengikut formula mingguan.

Ini bagi membolehkan harga yang dibayar rakyat dapat segera diseleraskan dengan harga semasa minyak mentah dunia.

Kerajaan memantau harga minyak mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) secara bulanan yang bermakna harga minyak dunia pada Disember hanya akan mempengaruhi formula harga petrol RON95 dan diesel pada Januari.

“Saya memahami kaedah ini sesuai dalam beberapa bulan yang lalu iaitu ketika harga minyak mentah dunia naik melonjak. Dalam keadaan harga minyak mentah dunia yang tinggi.

“Kerajaan Persekutuan menyediakan subsidi untuk mengekalkan harga pada kadar RM2.20 seliter bagi RON95.

“Selagi harga minyak mentah dunia kekal tinggi maka pengiraan formula hanyalah untuk menentukan berapa subsidi yang ditanggung oleh kerajaan kerana harga yang dibayar oleh rakyat adalah lebih rendah daripada formula,” katanya lagi.

Ketika ini, harga minyak mentah dunia berada pada paras AS$53.82 setong.-MalaysiaGazette