KUALA LUMPUR – Khabar gembira menanti peminat pelakon nombor satu India Selatan, Rajinikanth susulan desas-desus lagenda perfileman itu berkemungkinan besar akan kembali ke Malaysia pada Januari depan.
Ini berikutan filem terbaru beliau bertajuk Petta yang juga di uar-uarkan berkemungkinan sebagai filem terakhirnya sebelum terjun secara rasmi ke dunia politik telah mendapat hak pengedaran seluruh dunia oleh Malik Streams Corporation diterajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer.
Abdul Malik yang baru-baru ini ditemui oleh Malaysia Gazette mengakui, mendapatkan hak pengedaran filem berkenaan yang dikeluarkan oleh syarikat produksi gergasi, Sun Pictures sebenarnya bukanlah mudah sekalipun beliau ada hubungan baik dengan Rajinikanth.
Kata Abdul Malik, beliau terpaksa bersaing sengit.
“Bukan senang (mendapatkan hak pengedaran). Hakikatnya persaingan serta permintaan untuk mendapat hak pengedaran sangat tinggi daripada pelbagai pihak yang bukan calang-calang.
“Tetapi akhirnya, kita, syarikat dari Malaysia mendapat hak pengedaran tayangan filem ini, jadi saya memang rasa sungguh terharu dan bangga. Perasaan itu memang sesuatu yang saya langsung tidak dapat gambarkan.
“Oleh yang demikian, saya membuat keputusan dan sekali lagi mencuba nasib dengan menjemput Rajinikanth yang kita kasihi untuk menghadiri tayangan perdana Petta di Kuala Lumpur.
“Jawapan beliau tidak begitu mengecewakan, ternyata beliau sangat menyayangi rakyat di negara ini. Namun, Rajinikanth enggan berjanji tetapi akan mencuba sedaya upaya untuk datang. Itu sudah cukup menyatakan komitmen beliau kerana masih menimbangkan jemputan itu.
“Beliau mengucapkan ‘selamat maju jaya’ sempena Malik Streams Corporation dan saya sebagai pengedar filemnya dan berkata, saya akan tengok kesesuaian ketika menjemputnya ke sini untuk tayangan perdana.
“Kepada jutaan peminat beliau termasuk diri saya sendiri, kita doa supaya beliau dapat meluangkan masa walaupun sekadar beberapa jam untuk bersama kita menyaksikan filem lakonan beliau di sini.
“Jika beliau tidak dapat bersama dengan kita, jangan kecewa kerana saya sedang berusaha untuk mengadakan satu program amal yang akan saya umum tahun depan sebelum bulan Mac yang pastinya akan menyaksikan kehadiran beliau ke sini sekali lagi,” katanya.
Petta merupakan filem yang kini menjadi bualan bukan sahaja dalam kalangan peminat Rajinikanth sebaliknya seluruh industri hiburan dunia kerana masing-masing menanti apakah pembaharuan bakal dibawakan oleh pelakon superstar yang dikenali membawa pelbagai karakter berbeza dalam setiap lakonannya.
Filem Petta akan menemui para peminat pada Januari 2019 ketika musim Ponggal atau pesta menuai dengan barisan pelakon terkenal termasuk Vijay Sethupathi, Simran, Trisha, M. Sashikumar, Nazawuddin Siddiqui, Bobby Simha dan ramai lagi.
Tidak cukup dengan itu, filem juga telah diarahkan oleh pengarah muda yang juga tidak kurang hebat iaitu, Karthik Subbharaj yang pernah mengarahkan filem mencatat kutipan box office luar biasa seperti Pizza, Jigarthanda, Iravi dan Mercury.
Petta juga telah diterbitkan oleh penerbit bukan iaitu Kalainithi Maran yang juga merupakan pemilik Sun Group gergasi yang memiliki syarikat serta agensi media, radio, produksi filem terbesar di India.
Komposer muziknya pula Anirudh Ravichander dengan lagu-lagu serta muziknya yang sudah begitu popular hampir berpuluh juta melayarinya, antara lagu menjadi kegilaan termasuk Maarana Mass, Ullalaa dan Petta Parak.
Di Malaysia malah seluruh dunia, ia akan dikeluarkan dalam tiga bahasa termasuk Tamil, Hindi dan Telugu pada masa yang sama.
Dengan memiliki semua kriteria ini, adalah menjadi satu kebanggaan apabila Abdul Malik berjaya mendapatkan hak pengedaran bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia dan filem ini pastinya akan membawa pengaruh serta nama besar buat negara.
Abdul Malik menambah, seandainya Rajinikanth tidak dapat hadir, rakyat Malaysia tidak perlu gusar kerana karektor serta aset bagi filem terbabit termasuk pelakon serta komposer dan orang di sebalik tabir akan tetap hadir memeriahkan tayangan perdana kelak.
“Kita ketika ini sudah dalam proses bukan sahaja mempromosi tetapi juga dalam mengadakan satu tayangan perdana. Malik Streams Corporation sebenarnya terkenal kerana publisiti serta promosi yang kita lakukan sehabis baik.
“Untuk filem Petta juga, kita akan buat yang terbaik. Seperti filem Kabali sebelum ini, kita pastinya sangat komited dan sangat berbangga, seperti yang saya cakap sebelum ini, ini bukan untuk mengejar wang atau populariti semata-mata sebaliknya rasa bangga apakah yang boleh di capai oleh rakyat di negara ini di mata dunia,” ujarnya.
Pastinya semua akan teringat bagaimana Abdul Malik berjaya menyakinkan Rajinikanth untuk tinggal di negara ini lebih 50 hari selain daripada menghabiskan hampir 90 peratus penggambaran, pelakon itu juga tidak menang tangan menemui peminat tidak kira latar belakang dalam tempoh tersebut.- MalaysiaGazette