Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mendakwa UMNO akan meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, tindakan itu secara tidak langsung akan menghalang rakan komponennya, MIC daripada meletakkan calonnya.

“Sekarang jelas MIC tidak dibenarkan bertanding dalam PRK Cameron Highlands.

“(Sebaliknya) UMNO akan bertanding dalam pilihan raya kali ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman blognya, hari ini.

Pada 19 Disember 2018, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh PRK Cameron Highlands telah ditetapkan pada 26 Januari ini.

Azhar berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah.

Ia selepas calon DAP, M. Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan calon MIC Sivarraajh (Barisan Nasional) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Susulan tindakan itu, Kit Siang menggesa MIC segera meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas mereka dihalang bertanding di kerusi P078.

“Cameron Highlands tidak pernah ditandingi oleh UMNO sejak 60 tahun lalu mahupun selepas Merdeka.

“Perkembangan terbaru ini menunjukkan keangkuhan UMNO yang kini mendapat perhatian daripada parti komponen BN yang lain.

“MIC patut segera keluar BN jika masih ada kehormatan dan maruah. MIC sewajarnya tidak menjadi seperti MCA sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette