Suasana pintu hadapan Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang. Hari ini berlangsung sidang media berhubung pengumuman pemangku Raja Pahang sebagai Sultan Pahang yang baharu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2019

PEKAN – Pemasyhuran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan ini membuka laluan untuk baginda dinamakan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16.

Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga pengkaji institusi monarki, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain berkata biarpun kekananan seorang Raja ditentukan berdasarkan tarikh baginda menaiki takhta di negeri masing-masing, namun tidak mustahil bagi Tengku Abdullah dipilih Majlis Raja-Raja sebagai YDPA yang baharu.

Majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu akan berlangsung pada 15 Jan ini di Istana Abu Bakar, Pekan.

Manakala, Majlis Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih YDPA ke-16 dan timbalannya akan diadakan pada 24 Jan ini di Istana Negara.

Bercakap kepada Bernama, Wan Nazrul Helmy berkata perkara itu berdasarkan kecenderungan majlis itu mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja dan bukannya kekananan takhta dalam pemilihan YDPA setelah pusingan pertama sistem itu berakhir pada 1994.

Turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak adalah berdasarkan kekananan takhta dan Majlis Raja-Raja dilihat cenderung mengekalkan turutan itu dalam pusingan kedua sistem penggiliran yang bermula dengan pemilihan Almarhum Tuanku Jaafar dari Negeri Sembilan pada 1994.

Ia diikuti Almarhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah dari Selangor pada 1999, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dari Perlis pada 2001, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2006, Almarhum Sultan Abdul Halim dari Kedah pada 2011 dan Sultan Muhammad V dari Kelantan pada 2016.

“Berdasarkan konvensyen turutan penggiliran yang sedia ada itu, Tengku Abdullah boleh dipertimbangkan Majlis Raja-Raja untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda baharu sahaja diisytiharkan menaiki takhta sebagai Sultan Pahang keenam.”

“Hal ini pernah berlaku semasa pemilihan Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 pada 13 Dis 2001 walaupun baginda baharu naik takhta kerajaan Perlis pada 17 April 2000,” katanya.

Menyentuh ketokohan Tengku Abdullah, Wan Nazrul Helmy berkata baginda merupakan waris ganti Raja pemerintah yang paling ‘senior’ di Malaysia kerana telah menjadi Tengku Mahkota selama 44 tahun sejak 1975 ketika baginda berusia 16 tahun.

“Pengalaman inilah yang membentuk sahsiah peribadi Tengku Abdullah dan dilihat seorang pewaris yang amat berwibawa. Baginda banyak mewarisi sifat ayahanda baginda yang rendah diri, prihatin dan dekat dengan rakyat.

“Ini dapat disaksikan sendiri oleh rakyat apabila berlaku musibah terutamanya banjir, baginda adalah antara orang yang terawal turun padang mencemar duli bertanya khabar dan menghulur bantuan kepada mangsa menyebabkan rakyat Pahang amat menyangi baginda,” katanya.

Tengku Abdullah, 60, juga merupakan simbol perpaduan bagi rakyat negeri Pahang dan ini dapat dilihat dalam titah ucapan baginda ketika merasmikan majlis mahupun ketika menghadiri program bersama rakyat, baginda sering menekankan tentang soal perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Dalam keadaan Malaysia Baharu ini, isu perpaduan dilihat merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dan dengan ketokohan yang ada pada Tengku Abdullah ini, sekiranya baginda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baharu, baginda mampu menjadi ikon semangat muhibah di negara ini.

“Ibarat mutiara mahkota yang bersinar, saya percaya Tengku Abdullah mampu meneruskan legasi Sultan Ahmad Shah menjadi seorang pemimpin yang berwibawa dan dekat dengan rakyat sesuai dengan ungkapan yang pegangan keluarga diraja ini ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada,”katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast