Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi membuat persembahan dengan menyanyikan pelbagai lagu di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

SUASANA di Aeon Mall, Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam tiada ada bezanya dengan hari-hari lain.

Bezanya ada satu susuk tubuh ‘muncul’ dan dengan gigihnya memasang keyboard serta gegantung sebelum meletakkan satu tabung kecil di hadapannya.

Bermula dengan ucapan Assalamualaikum, lelaki berusia separuh abad ini tidak menunggu lama untuk memulakan nyanyiannya.

Walaupun tidak ramai pengunjung yang datang ke kompleks membeli belah tersebut ketika itu, ternyata ia tidak menghalang lelaki yang agak tinggi dan berbadan sedikit gempal itu mendendangkan satu persatu lagu yang telah ditetapkan di keyboardnya.

Bermula dari lagu-lagu 60an, dia beralih ke lagu-lagu berbahasa Inggeris sebelum menyampaikan lagu-lagu popular masa kini.

Dia kelihatan begitu bersahaja mendendangkan lagu-lagu tersebut, seperti seorang penyanyi yang profesional lagaknya.

Bila diamati gegantung yang terpasang, ternyata lelaki ini bukan calang-calang penyanyi.

Lebih tepat lagi, beliau adalah di antara penyanyi hebat tanah air yang sering dijemput ke istana, majlis-majlis besar kerajaan dan terkenal kerana dendangan lagu-lagu patriotiknya.

Tetapi apa sudah jadi dengan Mohammed Rauzan Alwi atau lebih popular dengan nama Roy ini?

MGF25012019_TEMUBUAL ROY10
Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi membuat persembahan dengan menyanyikan pelbagai lagu di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

” Segalanya disebabkan desakan hidup. Pasal dah tak ada kerja,” kata anak kelahiran Muar, Johor ini.

Untuk rekod, Roy memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai artis rakaman Luncai Emas dengan album pertamanya bertajuk Roy Nekad.

Album yang diterbitkan pada tahun 1991 dengan lagu popular Diari Mimpi telah melonjakkan nama Roy sebagai penyanyi pujaan ketika itu.

Kejayaan album tersebut membuatkan Roy tidak menang tangan memenuhi undangan menyanyi apalagi setelah album keduanya diterbitkan dan diedarkan oleh EMI.

Album yang diterbitkan pada tahun 1993 dengan tajuk dan lagu hitsnya Ratnaku yang diharapkan dapat meneruskan perjalanan seninya rupa-rupanya tidak banyak membantu.

Walaupun Ratnaku sering diputar di corong radio dan berjaya mencuri hati para peminatnya namun ia tidak membantu daripada segi jualan.

Semuanya gara-gara ketika album keduanya diedarkan, Roy ketika itu sudah dicop sebagai penyanyi lagu patriotik.

MGF25012019_TEMUBUAL ROY08
Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi bercakap semasa temubual khas di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

Membahasakan dirinya dengan panggilan abang, Roy berkata, disebabkan sering menyanyikan lagu-lagu patriotik, beliau turut dilabel penyanyi Barisan Nasional!

” Kita ni penyanyi, kita ni neutral. Kita juga menyanyi untuk negara. Siapa panggil pun kita pergi sama ada dijemput oleh pemerintah atau pun pembangkang. Kerajaan cara kerajaan, pembangkang cara pembangkang. Abang dibayar untuk menyanyi, lainlah abang sukarela menyanyi kerana menyokong (sesuatu parti).

” Siapa yang kita sokong (ketika pilihan raya) adalah hak masing-masing. Dulu baik Datuk Seri Najib mahupun Tun Dr. Mahathir sering mengundang abang di majlis-majlis mereka, mungkin sebab itu orang ingat abang ni penyanyi Barisan Nasional, hakikatnya menyanyi adalah periuk nasi abang, siapa pun panggil abang nyanyi, abang terima. Malangnya sikap profesional abang tu disalahtafsir, abang akhirnya yang jadi mangsa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.

MGF25012019_TEMUBUAL ROY07
Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi bercakap semasa temubual khas di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

Ketika diminta mengimbau kenangan manis sewaktu beliau berada di puncak popularitinya, Roy berkata, beliau sering diundang ke istana-istana malah sering juga mewakili kerajaan sebagai penyanyi dan ‘duta kecil’ di luar negara.

Ujarnya, kemampuannya menguasai dan menyampaikan lagu-lagu lama atau ‘oldies’ membuatkan namanya sering menjadi pilihan para Menteri dan juga Sultan.

Tambahnya ini menyebabkan dia juga dikategorikan ‘penyanyi elit’, namun kini semuanya sudah berakhir dan tidak membawa erti lagi.

” Mula-mula dulu memanglah abang ada rasa malu sikit. Dulu Raja panggil buat persembahan, dengan pakaian yang cantik, glamour tetapi tiba-tiba menyanyi di tepi jalan. Orang tengok pun terperanjat. tetapi abang tak nak fikir banyak.

” Abang cuma fikir macam mana nak dapat pendapatan cepat. Nak tunggu orang panggil kerja sampai bila, penat juga minta sana-sini tak dapat,” ujarnya.

MGF25012019_TEMUBUAL ROY12
Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi membuat persembahan dengan menyanyikan pelbagai lagu di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

Menurutnya, penglibatan awalnya dalam dunia ‘busking’ bermula apabila kontraknya sebagai pensyarah sambilan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak disambung.

Lebih mengejutkan, kata Roy, ia berlaku secara mendadak hingga beliau tak sempat melakukan sebarang persediaan.

Kebetulan pula, tambah Roy, ketika itu beliau sedang dalam proses untuk menghasilkan sebuah buku mengenai dunia ‘busking’, jadi untuk mendapatkan gambaran sebenar kehidupan seorang ‘buskers’, beliau terpaksa turun ke ‘jalan’ untuk menghayati kehidupan mereka.

” Alang-alang dah nak buat buku ditambah pula abang cuma ada ‘job’ kecil-kecil seperti mengajar di universiti jadi pensyarah sambilan yang tidak mampu untuk menampung hidup, abang buat keputusan untuk terus menjadi penyanyi jalanan

” Orang dah makin kurang panggil abang untuk menyanyi. Mungkin sebab penampilan abang yang makin gemuk, buncit, dah tak ‘handsome’. Album baru tak ada, lagu baru pun tak ada. Abang bagi contoh, Adibah Noor dia pandai buat lawak, Nassier Wahab pula kacak, awek muda. M. Nasir, David Arumugam, mereka ada banyak lagu hits. Mereka ada kelebihan.

” Macam abang, orang nak tengok apa? Lagu-lagu hits pun tak banyak. Takkan nak harap pada lagu-lagu patriotik yang abang nyanyi tu, itu bukan lagu komersil.

” Lagu-lagu patriotik abang pula banyak yang berentak ‘march’. Orang Malaysia anggap ia lagu lama, lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya.

MGF25012019_TEMUBUAL ROY11
Penyanyi, Mohammed Rauzan Alwi membuat persembahan dengan menyanyikan pelbagai lagu di AEON Mall Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

Dalam pada itu, Roy memberitahu, di sebalik segala kepayahan yang terpaksa ditempuhinya, beliau tidak pernah menyesal menjadi anak seni.

Ujarnya, untuk itu, beliau perlu sentiasa perlu positif dalam segala tindakan dan keputusannya

” Dengan ‘busking’ ni abang nak bagitahu peminat dan orang ramai yang abang masih menyanyi. Tak payah tunggu abang masuk TV, datanglah ke sini, bawalah handphone, nak bergambar ke, nak autograf ke, tak ada caj, mintalah apa saja lagu, abang akan cuba nyanyikan.

” Kalau nak bagi sedikit sumbangan, Alhamdulillah. Kalau tak bagi pun, abang akan tetap menyanyi dan menyanyi,” katanya yang boleh dihubungi di talian 012-399 3617 atau email di [email protected].

Semoga Roy terus tabah mengharungi pahit getir bergelar anak seni. Itu doa kami. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast