SEMENYIH – Kenapa projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Semenyih yang menghubungkan Jalan Bangi Lama dan laluan Kuala Lumpur-Seremban masih gagal disiapkan sehingga kini?
Itu persoalan penduduk dan mereka merasakan terpedaya selepas projek itu tidak diteruskan oleh kerajaan yang ada sekarang.
Menurut Mohd. Nasir Leman, 52, projek tersebut tergendala semenjak pertukaran kerajaan selepas PRU-14 lalu yang pada akhirnya menyusahkan penduduk setempat.
“Jambatan dekat Pejabat Pos itu, sebelum PRU-14 sampai lepas itu nampak macam tiada perkembangan projek pembinaannya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Sekalipun projek itu diumumkan oleh Barisan Nasional yang kini tidak lagi menjadi sebuah kerajaan, namun katanya lagi, ia tidak sepatutnya dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang.
Lebih-lebih lagi, jambatan itu sepatutnya memberikan manfaat kepada penduduk sekitar pekan Semenyih, katanya.
“Walaupun tukar kerajaan tidak kisahlah, tapi ini kan untuk rakyat, bukan parti yang nak, itu sahaja sekarang ini isu bagi kami penduduk di sini,” ujarnya.
Senada dengan Mohd. Nasir, seorang lagi penduduk, Zainal Arifin turut melahirkan kekesalannya apabila kesesakan lalulintas di kawasan pekan itu tidak berpenghujung semenjak projek pembinaan jambatan itu tergendala.
“Jambatan tak siap-siap jadi kami terpaksa berpusing-pusing, jambatan tu sepatutnya dijadikan jalan utama ke Kajang dan Seremban itu melalui jambatan itu jadi tempat lain yang sesak.
“Apa lagi kalau ada pasar di sini, Sabtu dan Ahad dalam masa yang sama di jalan yang sekarang digunakan sebagai utama, makinlah sesak,” rungutnya.
Untuk rekod, projek pembinaan jambatan itu diumumkan oleh BN pada 24 Mac tahun lalu dan sepatutnya dijangka siap pada Jun tahun ini namun nampaknya tidak diteruskan.
Tidak terarah kepada hanya isu jambatan, R. Nathan, 56, pula berpendapat, peluang pekerjaan di Semenyih kini semakin berkurangan.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi, katanya, kekurangan peluang pekerjaan menjadi masalah penduduk.
Beliau bimbang kerana keadaan itu berpotensi meningkatkan pula kadar jenayah.
“Orang di sini sekarang sudah tiada kerja lagi (susah dapat kerja) pasal itu (tiada kerja) boleh jadi timbul perkara-perkara lain lagi.
“Nanti boleh cetuskan rompakan,” katanya yang bekerja sebagai pemandu. – MalaysiaGazette
Beb, bila BN bungkus, Contractor BN pun bungkus & lari.
wooooooooit, pi cari kontraktor BN tuuuu