KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membidas Ong Kian Ming yang didakwa tidak berani bersuara berhubung kecelaruan kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.
Sedangkan dahulu, katanya, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sering mendedah atau mendakwa Menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional memiliki ijazah palsu sehingga mewujudkan keraguan kredibiliti.
“Yang hairan kali ini ialah kenapa Dr Ong Kian Ming “diam-diam” sahaja dan langsung tidak berani bersuara?
“…pada kali ini ianya melibatkan seorang Timbalan Menteri PH yang memegang jawatan Setiausaha Agung PPBM. Kenapa Dr Ong yang juga seorang graduan University of Cambridge tidak tampil ke hadapan untuk membantu membersihkan nama baik Marzuki serta mempamerkan ijazah tulen dari University of Cambridge jika Marzuki betul-betul difitnah?,” soal Presiden MCA itu.
Secara sinis, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, jikalau Marzuki bersikap tidak jujur dan gagal mengemukakan ijazah tulen dari University of Cambridge, maka sebagai alumini universiti tersebut, Kian Ming sepatutnya membongkarkan scam ini demi menegakkan keadilan seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini.
Sambil menyatakan pelik apakah wujud elemen jenayah dalam isu tersebut sehingga Marzuki menyerahkan perkara itu untuk siasatan polis.
Ini kerana, katanya, umum mengetahui pelantikan Menteri atau Timbalan Menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan seseorang yang tidak pernah memasuki universiti pun layak dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selagi beliau ingin berbuat demikian.
Maka, soal Marzuki menipu Perdana Menteri barangkali tidak mempunyai asas yang kukuh, sindirnya.
Sebaliknya, Ka Siong berkata, jika Marzuki tidak pernah mengikuti pengajian di University of Cambridge, maka terpulang kepada universiti berkenaan membuat laporan polis mengenai gejala penggunaan ijazah palsu di Malaysia.
Kalau tidak, pelantikan Marzuki sebagai Timbalan Menteri Luar tidak boleh digunakan sebagai justifikasi kononnya Marzuki ‘menipu’.
Katanya, dari segi moral dan etika politik, ianya berbeza daripada segi tafsiran undang-undang.
“Marzuki sendiri yang menggelar dirinya sebagai graduan University of Cambridge dan ini dari segi moral politik, Marzuki yang sepatutnya rasa terpanggil untuk membuat pencerahan kerana telah terbongkar menggunakan kelayakan akademik ‘palsu’ dalam profilnya,” katanya.
Berhubung ‘u-turn dari UK pusing ke AS’ apabila Marzuki mengesahkan ijazahnya dari Cambridge International University, Ka Siong sekali lagi berkata, Timbalan Menteri itu perlu memberi tunjuk ajar kepada rakan dalam Pakatan Harapan, sama ada universiti berkenaan sekadar kilang mencetak ijazah atau sebaliknya.
Kalau ijazah itu tidak diiktiraf dan terbukti bukan universiti tulen, maka Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dipertanggungjawabkan menjaga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) perlu bersuara dan tidak boleh berdiam diri demi memelihara keutuhan mutu akademik negara ini. – MalaysiaGazette