KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melibatkan perbincangan hal-hal politik.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Hadi memaklumkan Pas tidak akan menyokong calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Jumpa berkenaan politik dan macam-macam.
“Beliau (Abdul Hadi) beritahu parti Pas dalam PRK ini tidak akan sokong UMNO.
“Ada pengakuan secara bertulis dan ditandantanganinya,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucap utama dalam Pesta Demokrasi Kuala Lumpur 2019 anjuran Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA) di di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Mahathir diminta mengulas pertemuan beliau selama 45 minit itu bermula pukul 9 pagi Jumaat sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di di Yayasan Al-Bukhary semalam.
Abdul Hadi ditemani Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ini merupakan kali kedua Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Mahathir selepas pertemuan pertama sebaik PH membentuk kerajaan tahun lalu.
Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuannya dengan Mahathir itu adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.
Abdul Hadi berkata, pertemuan mendapat reaksi positif Mahathir.
Sementara itu, penamaan calon PRK Semenyih berlangsung pagi tadi dan menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi Pas bersama pemimpin UMNO untuk menyokong calon dari parti itu. – MalaysiaGazette