KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau berhubung kenyataannya menggesa Tun Dr. Mahathir Mohamad letak jawatan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan berkata, Cheng Hau perlu sedar dengan kedudukannya yang dilihat terlalu jauh berbanding status Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
“Dr. Mahathir dan Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah nama besar dalam politik negara. Apa pula mimpi dia untuk samakan diri sendiri dengan situasi tokoh-tokoh itu?
“Kalau ya pun nak cari glamour murah, buatlah dengan cara lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Cheng Hau apabila mendesak Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana memperlekah Manifesto PH.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Bersatu itu yang menyifatkan ‘manifesto tersebut hanyalah satu garis panduan dan bukannya Bible’ yang perlu dipatuhi.
Malah, Cheng Hau turut berkata, pemimpin-pemimpin PH yang percaya tiada perubahan boleh dilakukan dalam kerajaan tanpa Mahathir adalah bodoh.
Menurut Wan Saiful lagi, PH meraikan kepelbagaian pandangan namun, ia biarlah dlakukan secara berdisiplin dan dalam semangat kekeluargaan.
Katanya, adalah lebih baik sekiranya Cheng Hau sendiri yang meletak jawatan daripada menyusahkan PH yang kini sedang sibuk dengan kempen PRK Semenyih. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/pm-sila-letak-jawatan-kata-cheng-hau/