BANGI – Pihak pengurusan dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijangka mengadakan mesyuarat tengah hari ini bagi membincangkan sama ada mahu meluluskan program ‘Sembang Santai Bossku’ atau sebaliknya.
Menurut Pusat Komunikasi Korporat UKM, mesyuarat itu bertujuan menentukan ‘Bossku’, Datuk Seri Najib Razak boleh hadir di universiti itu atau tidak.
“Kata putus akan ditentukan oleh Naib Canselor. Perkara itu akan diputuskan tengahari.
“Setakat ini program itu masih diteruskan sebab media sudah dijemput,” kata pegawainya kepada MalaysiaGazette.
Bagaimanapun katanya ada dakwaan program itu berkemungkinan ditunda amat besar.
“Kalau pusat pengurusan UKM kata tunda, kita tunda,” katanya lagi.
Program tersebut dijangka menyaksikan Najib berucap di aras lima bangunan Pusanika UKM jam 3.30 petang esok.
Menurut iklan di Facebook PMUKM hari ini, sesiapa yang berminat bertanya kepada Najib boleh menulis soalan lebih awal melalui borang yang disediakan di media sosial itu. -MalaysiaGazette