KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming sekali lagi berdepan dengan kemarahan wakil rakyat pembangkang berhubung kenyataanya yang mengaitkan  kerjasama Pas dan UMNO dengan Taliban.

Terbaharu ketika sedang berhujah titah Yang Dipertuan Agong oleh Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas), Ahmad Fadhli Shaari, Datuk Seri Noh Omar bangkit menyoal Kor Ming berhubung kenyataan ‘Taliban’ itu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN) bertanya adakah benar media sosial telah memutarbelitkan kenyataan beliau, jika benar sepatutnya media itu perlu disaman.

Ia seterusnya berlaku ‘pergaduhan’ selama hampir lima minit, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak dan Noh bertikam lidah berhubung isu tersebut sebelum mikrofon di meja Noh ditutup.

“Tanjong Karang, saya sudah jelaskan minggu lepas tetapi anda tidak ada dalam dewan ketika itu,” kata Kor Ming.

Bagaimanapun Noh sekali lagi menyoal adakah benar beliau menyebut sedemikian berhubung kerjasama antara Pas-UMNO itu.

“Saya dengar Yang Berhormat, kamu salahkan media. Tapi jawapan standard dari seorang Timbalan Speaker yang juga seorang peguam. Semalam, saya dengan Timbalan Menteri KPDNKK pula sokong kenyataan kamu.

Yang Berhormat mengakulah ada cakap begitu? Itu sahaja kami mahu tahu. Kamu kena berani. Hadapi kenyataan. Luar cakap lain, dalam cakap lain. Ada cakap ke tidak?” soalnya.

Namun Kor Ming tidak menjawab soalan itu sebaliknya hanya mengatakan dirinya ‘malas’ mahu melayan Noh.

Noh kemudian terus mengasak dan bertanya lagi adakah betul Kor Ming menyatakan kenyataan itu.

“Cakaplah, apa takut. Beranilah sikit. Tidak layak jadi Timbalan Speaker jika begini. Memalukan dewan seperti ini. Memalukan jubah. Jawab sajalah jika betul. Ulang balik kenyataan, memalukan betul,” katanya.

Kor Ming kemudian bertindak menutup mikrofon namun enggan mengaku kalah dan terus menyalahkan Noh.

“Saya malas hendak jawab. Jangan buang masa dewan. Sila duduk Tanjong Karang. Ini memang sikap Tanjong Karang sejak dulu hingga kini. Tidak pernah berubah. Dia sengaja buat provokasi, ponteng dewan kemudian cari isu. Pukul 2.30 tadi giliran dia tidak ada dalam dewan. Ponteng dewan dan kemudian cari hal.

“Hendak tengking-tengking ini memang cara Tanjong Karang sebenarnya. Jangan layan, sambung sahaja Pasir Mas,” ujarnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/18/minta-maaf-untuk-apa-kor-ming/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/09/malaysia-jadi-afghanistan-dikuasai-taliban-jika-umno-pas-memerintah/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast