Reaksi seorang pengundi India sewaktu membuat undian pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Tidak ada apa yang menghairankan apabila pengundi dalam kalangan masyarakat Cina dan India tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Walaupun sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) ‘terlebih yakin’ akan mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina dan India, namun hakikatnya golongan itu juga tidak bersemangat untuk mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) masyarakat India yang mana sebahagian besarnya telah beralih arah daripada menyokong ‘dacing’ dan MIC selama hampir 60 tahun dengan memberikan undi mereka kepada pimpinan PH khasnya pemimpin India.

Rata-rata mereka begitu ‘tertarik’ serta mempunyai harapan menggunung apatah lagi mendengar ucapan berapi-api membenci kerajaan terdahulu serta janji bulan bintang seandainya diberikan kemenangan besar.

Namun setelah menang, sehingga kini persoalan yang timbul apakah jenis inisiatif serta janji yang sebelum ini dijanjikan oleh pimpinan PH khasnya dalam kalangan India namun tidak nampak apa-apa lagi.

Kata calon Rantau PH, Dr. S.Streram dalam nada terkejut, beliau tidak menyangka keputusan begitu ‘teruk’ diterima dengan hanya mendapat 5,887 undi berbanding lawannya, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memperoleh 10,397 undi.

Streram mendakwa dirinya tidak percaya dengan sokongan masyarakat Cina dan India yang begitu rendah keluar mengundi di DUN tersebut untuk PRK kali ini.

RT Raja

Bagaimanapun, menurut Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, beliau tidak terkejut dan meminta keseluruhan pimpinan khasnya pemimpin India PH ‘celik’ dan sedar diri selepas ini.

Kata Raja, tidak ada apa-apa yang menghairankan kerana memang terang lagi bersuluh ramai dalam kalangan rakyat yang menyokong ‘bermati-matian’ kepada kerajaan PH ini sebenarnya semakin bosan dan muak.

Bukan sahaja hampir tidak ada apa-apa yang dibuat selain daripada hanya bersandarkan dengan inisiatif serta kebaikan kerajaan terdahulu kepada masyarakat India, hakikatnya pimpinan India walaupun mempunyai bilangan Menteri, Timbalan, barisan exco dan yang lain, namun tidak berguna.

“Bak kata pepatah, ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’. Itulah hakikat sebenarnya ketika ini. Pemimpin India PH tidak banyak menyumbang kecuali mengeluarkan segala macam kenyataan tidak berfaedah dan menguntungkan masyarakat India.

“Kadang-kadang mereka ini seolah-olah pembangkang sahaja. Hanya bercakap dan tidak berbuat apa-apa. Memang masyarakat India akan bosan kerana mereka tidak mendapat sebarang manfaat. Cakap sahaja macam tin kosong.

“Tapi bila pilihan raya, macam-macam kamu cakap dan janji lagi. Janji PRU-14 pun tidak lepas wahai PH. Cukuplah dengan retorik kamu.

“Adakah Dr Streram atau Anwar Ibrahim mahupun pimpinan PH fikir dengan menari dan menyanyi seperti MGR dan artis lain anda sudah menang kami? Apakah kamu fikir kami ini begitu cetek sekali? Ada banyak isu yang perlu ditangani tetapi sehingga kini, kamu sekadar tuding jari.

“Kemudian datang lagi pilihan raya, kamu janji lagi. Selang seli itu, kamu bangkitkan lagi sentimen perkauman, masa PRK Cameron Highlands, kamu kata tidak ada dalam kalangan masyarakat Melayu atau India akan beli kuih dengan Orang Asli. Kamu kalah teruk di situ.

“Kemudian kamu cakap lagi tidak mahu makan di kedai lain selain kedai orang India semata-mata mahu dapatkan undi. Tapi kemudian kamu salahkan UMNO dan Pas kerana mainkan isu perkauman?

“Kamu fikir masyarakat India bodoh atau bebal dengan berterusan mainkan politik murahan seperti ini? Kuasa dalam tangan kamu, buatlah apa yang patut daripada terus menyalahkan semua kecuali diri kamu sekelian,” tegasnya.

MGF06042019_ANWAR BERSAMA MASYARAKAT INDIA02
Reaksi bersahaja Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menari pada Malam Kebudayaan Masyarakat India bagi membantu calon PH, Dr. S. Streram yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau

Selepas memenangi Parlimen Cameron Highlands dan merampas kerusi DUN.  Semenyih sebelum ini, Barisan Nasional (BN) terus mencipta kejayaan cemerlang apabila mengekalkan DUN Rantau dalam PRK yang berlangsung semalam.

Dua calon bebas iaitu R. Malarvizhi mendapat 83 undi, manakala Mohd. Nor Yassin 79 undi.

MGF06042019_KEMPEN CALON BN_27
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) berbual mesra dengan penduduk India, Johnson Soosai Michel (dua kanan) dan sebahagian keluarga sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau

Kekalahan PH di Rantau yang merupakan kegagalan kali ketiga berturut-turut mengesahkan bahawa rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan sedia ada.

Dengan cubaan memainkan isu, kemungkinan kaum bukan Melayu diabaikan jika gabungan pembangkang menang, kebanyakan pengundi di Rantau tidak termakan dengan dakwaan seumpama itu.

BN menang besar di PDM Pekan Sagga yang lebih 60 peratus pengundi terdiri daripada kaum India, begitu juga di Linsum. BN juga menang di PDM Angsamas, Kampung Mambau, Rantau dan Kuala Sawah yang tidak mengundi calon BN, Khairy Jamaluddin di peringkat Parlimen dalam PRU-14, Mei tahun lalu.

Walaupun DUN Rantau mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini dengan 79 peratus namun hakikatnya pengundi India dan Cina tidak begitu teruja berbanding Melayu. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast