KUALA LUMPUR – Perkataan Permata itu sudah cukup membawa estetika falsafah dan nilai yang tinggi dan sangat berharga sehingga ia tiada bandingannya.
Disebabkan itu, nama Permata sudah cukup gah untuk menggambarkan program pendidikan itu secara total.
Lantaran itu, pakar sejarah negara, Prof Datuk Dr Ramlah Adam mempersoalkan apa justifikasi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mahu menjadikan Program Permata lebih berdaya saing, bersemangat tinggi dan lebih berkualiti.
“Permata sebenarnya ‘philosophically’ tinggi dan tiada tolok nilai dan bandingan. Permata juga melambangkan identiti Malaysia, sangat halus, selalunya digunakan kepada individu yang hebat.
“Disebabkan itu memang sesuai sangat program tersebut dipanggil Permata.
“Hendak tukar nama atas alasan lebih bersaya saing, lebih berkuatliti. Habis sebelum ini tidak berdaya saing dan berkualiti ke Program Permata? Munasabahkah mahu menggunakan perkataan Genius berbanding Permata?” tanya beliau.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditanya sama ada kesesuaian Program Permata ditukar kepada Genius.
Ramlah berkata, perkataan genius dalam bahasa Melayu sekadar merujuk kepada orang bijak dan pandai yang biasa sahaja.
“Berbeza dengan Permata yang juga mendukung makna budaya, falsafah kemanusiaan, kehebatan fikiran, kesemuanya terangkum dalam Permata,” ujarnya lagi.
Ramlah tidak menolak perubahan nama itu semata-mata mahu ‘lari’ daripada imej kerajaan Barisan Nasional apatah lagi Program Permata dicetuskan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.
Perubahan nama itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi kerajaan Pakatan Harapan kerana telah mengubah nama beberapa program lain sebelum ini.
“Jika nama Permata dikekalkan pun ia pasti akan menyebabkan menteri tidak sedap hati.
“Dengan perkataan genius orang lama-kelamaan tidak akan sebut Permata lagi, zaman kewujudan Permata akan tinggalkan, nama pencetusnya akan hilang, akhirnya orang akan lupa Permata,” tambahnya.
Ramlah berpendapat, tidak wujud isu daya saing dalam perubahan nama memandangkan penasihat sebenar Permata adalah dalam kalangan pakar-pakar pendidikan.
Pendidikannya adalah berteraskan konsep kenegaraan dan keantarabangsaan, malah peruntukan bagi pelaksanaan Program Permata juga dibiayai kerajaan.
“Jadi saya tak fikir kalau tukar nama semata-mata untuk berdaya saing, ia adalah satu perkara yang berbeza,” ujar Ramlah. – MalaysiaGazette