Razlan Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) tidak perlu ‘melompat’ apabila Pas mempersoalkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi pemimpin negara, lebih-lebih lagi beliau melabelkannya sebagai seorang bekas banduan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan, lebih malang lagi apabila mereka didakwa seolah-olah lupa bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu pernah dimasukkan ke penjara Sungai Buloh sebanyak dua kali.

“Apabila Datuk Takiyuddin Hassan bertanyakan ‘Layak ke bekas banduan untuk pemimpin rakyat!” Ramai yang melompat, Pemuda Amanah, Pemuda PKR dan juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Mereka semua sudah lupa bahawa Anwar dimasukan ke dalam penjara sebanyak dua kali, di atas kesalahan salah guna kuasa dan kesalahan lain.

“Sehingga hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menarik balik kenyataan bahawa Anwar tidak melakukan kesalahan semasa beliau dipenjarakan pada zaman beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil bahawa Anwar bukan lagi bergelar banduan setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Mohd Razlan menegaskan status Anwar sebagai bekas banduan masih terpalit kerana presiden PKR itu menghabiskan hukuman penjara terdahulu tanpa ada pengampunan.

“Saifuddin patut bertanya kepada Dr Mahathir, adakah Anwar merupakan tahanan politik dan bukan seorang penjenayah yang sudah dipenjarakan.

“Telajak perahu boleh diundur, telajak kata, sampai mati di Internet,” katanya.

Kata Mohd Razlan lagi, sejarah dan rakaman video menjadi lipatan sejarah kepada ramai tokoh politik tidak boleh lari dari percakapan mereka.

“Yang menuduh Anwar melakukan jenayah bukan hanya mahkamah, ianya turut dirakamkan dengan kata-kata yang keluar dari mulut pemimpin sekutunya.

“Anwar Ibrahim mesti bertaubat, kata Karpal Singh, al-Juburi (Mohamad Sabu),” katanya.

Katanya lagi, pemimpin PH juga pernah mengeluarkan kenyataan menyerang keperibadian Dr Mahathir sebelum ini.

“Mahathir, Bapak Perompak Negara, kata Mohamad Sabu, Tahun ini ada satu anak muda lebih kaya dari Vincent Tan, siapa orang itu, Mokzani Mahathir (Lim Guan Eng),” katanya.

Mohd Razlan turut mengingatkan bahawa rakyat sendiri melihat dan mendengar lakonan pemimpin PH sebelum ini dan tindakan mereka mempertahankan Anwar dan Dr Mahathir seolah-olah mereka tidak berdosa.

“Mereka menuduh sesama sendiri dan malah sanggup memenjarakan rakan-rakan mereka demi mendapat kuasa.

“Paling tragis dalam sejarah politik Malaysia apabila Dr Mahathir yang memenjarakan Anwar yang pada awalnya nak disumbatkan kerana liwat, hari ini akan memberikan jawatan Perdana Menteri.

“Itu sebab semua rakyat keliru, dan semakin tidak percaya bahawa adakah mereka mahu bekas banduan memimpin mereka, dan lebih pelik lagi, yang nak beri itu, orang yang memenjarakan beliau.

“Benarlah apabila Tok Mat Hassan berkata, Dr Mahathir tidak akan beri pada Anwar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette