Sebahagian mahasiswi memegang poster "Tuntut Janji PTPTN "semasa berarak menuju ke Menara PTPTN ketika menyertai Himpunan Tuntut Janji PTPTN di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) amat mengejutkan.

Pastinya mengecewakan ramai pengundi yang telah memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lepas.

Sebelum PRU-14, majoriti rakyat terpesona dengan janji-janji manis PH termasuk pelaksanaan pendidikan percuma sehingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sokongan rakyat walaupun berkali-kali ditekankan bahawa kesemua janji-janji PH hanya janji populis yang sukar dilaksanakan.

Walaupun PH telah memansuhkan larangan ke luar negara sebaik sahaja membentuk kerajaan baharu, malangnya selepas setahun, larangan tersebut dicadangkan semula pelaksanaannya.

Justeru itu, MCA menggesa kerajaan PH supaya menolak cadangan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang dianggap sebagai satu percanggahan janji PH, di samping bakal menyusahkan para peminjam, lebih-lebih lagi kerana kebanyakan mereka berada dalam golongan berpendapatan rendah.

Jurucakapnya, Mike Chong Yew Chuan berkata, pusingan U oleh kerajaan PH ini dilihat sebagai langkah terdesak untuk menyelamatkan PTPTN yang dilaporkan terpaksa menanggung hutang RM40 bilion, yang disifatkan lebih besar daripada hutang ditanggung 1MDB.

Ia harus ditekankan bahawa cabaran yang dihadapi PTPTN hari ini berpunca daripada PH sendiri, yang telah menghasut penyokong-penyokongnya supaya tidak membayar balik hutang mereka, malah juga berjanji memansuhkan semua hutang apabila mereka membentuk kerajaan.

Ini adalah antara sebab PTPTN merekodkan prestasi bayaran balik pinjaman yang rendah.

Oleh itu, kerajaan PH disaran lebih berusaha memperbaiki kesilapan mereka dengan menggalakkan para peminjam membayar balik hutang melalui penawaran insentif sepertimana yang dilakukan kerajaan BN terdahulu, dan bukannya mengenakan sekatan terhadap peminjam, katanya.

“Janganlah membebankan mereka lagi dengan larangan tersebut tambahan pula ketika ini timbulnya masalah kekurangan peluang pekerjaan yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang lembap.

“Keadaan ini sekaligus menyaksikan pelabur-pelabur asing menarik diri atau menutup operasi mereka dalam negara, di samping kegagalan PH sendiri untuk melaksanakan gaji minima RM1,500 sepertimana yang dijanjikan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast