PUTRAJAYA – Malaysia mempertahankan pendiriannya yang mahukan bukti kukuh berhubung pendakwaan empat individu yang didakwa bertanggungjawab mengorbankan kesemua mangsa dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) yang berlaku pada 2014.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada masa ini Malaysia tidak berasa gembira kerana perkara itu sudah menjadi satu isu politik oleh barat.
Katanya, meskipun barat menyatakan mereka mempunyai bukti namun, beliau tidak merasakan ia bukti yang benar.
“Walaupun sebelum ini mereka telah menyiasat dan menuduh tetapi sekarang mereka kata ada bukti tetapi susah untuk kita menerimanya.
“Sudah tentu dari awal mereka mahu menuduh Rusia kerana mereka kata mereka ada bukti tentang siapa orang itu. Ini adalah perkara yang tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Dr Mahathir mengulas pendedahan laporan yang dilakukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) dan disiarkan secara langsung dari Belanda semalam yang mengesyaki empat lelaki bertanggungjawab menembak pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines itu akan didakwa atas kesalahan membunuh.
Mereka ialah warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov. Seorang lagi warga Ukranie, Leonid Kharchenko.
Pesawat tersebut ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang mana kesemua 298 penumpang terbunuh.
Siasatan Lembaga Keselamatan Belanda dan JIT sebelum ini mendapati pesawat itu ditembak oleh sistem peluru berpandu BUK dari Brigade Anti Pesawat ke-53 Angkatan Tentera Rusia.
Ia dilancarkan dari sebuah padang di Ukraine yang dikuasai puak pemisah Rusia ketika itu.
Pada Mei lalu, Dr Mahathir dalam satu sesi dialog di New York menegaskan kerajaan Malaysia mahu bukti kukuh yang menunjukkan Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang meragut nyawa 298 penumpang di timur Ukraine itu.
Katanya, Malaysia menerima laporan pasukan siasatan yang diketuai Belanda tetapi hanya setakat pesawat itu dalam penerbangan dari Amstetrdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia. – MalaysiaGazette