Bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr. Shahrom Abdul Wahid (kiri) hadir prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Kompleks Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2019

SHAH ALAM – Laporan bedah siasat oleh Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) didakwa dibuat secara membuta tuli kerana terdapat kelemahan di dalamnya.

Demikian kesimpulan pakar forensik, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, saksi ke-29 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipanggil semula hari ini untuk memberi keterangan.

Jelas bekas pakar forensik itu, wujud kepincangan dalam laporan yang dibuat oleh Doktor Ahmad Hafizam Hasmi sehingga boleh menumbulkan kekeliruan apabila beliau tidak menjalankan beberapa eksperimen yang sepatutnya menjadi keperluan.

Antara yang disebut Shahrom kepada Mahkamah Koroner hari ini adalah eksperimen memanggil semula kereta-kereta yang berada berhampiran van  Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan  jentera Fire Rescue Tender (FRT) pada malam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu.

“Sepatutnya kalau nak periksa, jangan periksa hanya EMRS, FRT dan bahu jalan. Pada malam itu ada kereta-kereta di tepi-tepi itu jadi tidak boleh buat eksperimen pelanggaran dalam keadaan kereta tiada di tempat sepatutnya.

“Kena panggil kereta yang ada di situ, buat seperti keadaan malam kejadian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak patologi HKL sebelum ini seharusnya mencari semula objek getah pada daun pintu van yang menyebabkan kecederaan pada dada kanan Allahyarham Muhammad Adib kerana objek getah itu bukannya tiada tetapi tertanggal.

“Patologi malas, tak cari pun (objek getah yang hilang pada daun pintu memberi kesan pada dada Muhammad Adib)

“Patutnya kalau kita kerja dengan minat, kita puas hati laporan ini. Kalau tidak, cari sampai dapat,” tambah Shahrom.

Hirisan kulit pada badan Muhammad Adib, tambah beliau, sepatutnya dilakukan bagi mengesahkan kewujudan lebam yang pada akhirnya menjadi petunjuk kepada punca kecederaan yang dialami.

Mengulas lanjut, Shahrom melihat keterangan yang diberikan oleh Hafizam kepada mahkamah sebelum ini tidak konsisten mengakibatkan beliau mahu membuat uji kaji impak jatuh pada bahu jalan.

Menurutnya, meskipun Hafizam sebelum ini berkata kesan kecederaan pada dada kanan Muhammad Adib akibat terjatuh ke bahagian permukaan bahu jalan, namun beliau sama sekali tidak sependapat.

“Pada peringkat awal saya tak pergi ke tempat kejadian sebab gambar bahu jalan telah diberikan kepada saya dan saya bandingkan dengan kecederaan, memang tak padan langsung.

“Tetapi saya pergi juga ke tempat kejadian sebab saya perhatikan dalam inkues ini keterangan daripada laporan boleh diubah  macam-macam dengan alasan untuk membantu mahkamah.

“Saya dah periksa daripada hujung ke hujung tidak ada jumpa yang padan, walaubagaimanapun saya boleh ditanya ada buat tak eksperimen, sekarang saya kata saya dah buat terhadap bahu jalan yang didakwa.

“Saya seratus peratus menolak bahu jalan, mustahil dan tak masuk akal (ia punca kecederaan),” ujarnya.

Shahrom sebaliknya berkata, terdapat kemungkinan antara 80 hingga 90 peratus daun pintu EMRS menghentak dada Muhammad Adib lalu mematahkan tiga tulang rusuknya.

Shahrom saksi yang dipanggil semula untuk kali kedua selepas inkues kematianMuhammad  Adib berehat beberapa waktu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast