KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memandang serius dakwaan seorang anggota Exco kerajaan negeri dari parti itu yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia.
Beliau berkata, oleh kerana laporan polis telah dibuat semalam, DAP berpandangan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
“Tindakan yang sepatutnya akan diambil, bergantung kepada hasil penyiasatan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai seorang Exco Perak sedang disiasat pihak polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia.
Difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.- MalaysiaGazette