Koon Yew Yin

KUALA LUMPUR – Taikun perniagaan terkenal, Koon Yew Yin yang berdepan dengan kritikan demi kritikan sejak semalam berhubung kenyataan ‘menghina’ Anggota Angkatan Tentera (ATM) memohon maaf hari ini.

Yew Kin sebelum ini dalam nada menghina mendakwa anggota ATM tidak lebih daripada sekadar makan dan tidur sahaja serta mencadangan golongan itu menggantikan pekerja asing sebagai buruh murah.

Bercakap kepada Utusan Online melalui aplikasi Whatsapp sebentar tadi, Yew Kin memohon maaf seandainya kenyataan beliau menyinggung perasaan anggota tentera.

“Saya meminta maaf jika saya menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan,” katanya.

Yew Yin menjelaskan bahawa mungkin caranya ketika mengemukakan cadangan mengenai pengurangan kakitangan awam terutama anggota tentera tidak disukai oleh sesetengah pihak.

Beliau berkata, enam cadangan yang dikemukakan oleh beliau untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam sangat bagus.

“Namun ada pihak yang tidak suka dengan cara saya memperkatakan tentang anggota tentera.

“Sepatutnya saya berkata pasukan tentera diperlukan ketika perang untuk mempertahankan negara. Ketika keadaan negara aman, mereka sepatutnya melakukan kerja lain untuk meningkatkan ekonomi negara kita,” ujarnya.

Hakikatnya, nama Yew Kin yang juga merupakan pengasas IJM Corporation dan Gamuda Berhad ini pernah menjadi kontroversi sebelum ini kerana pernah membuat tuduhan amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak di awal pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak.

Tindakannya memfitnah Almarhum Sultan Azlan Shah telah disusuli dengan pembatalan pelantikannya sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak oleh Menteri Besar pada tahun lalu.

Dia juga selepas itu telah menuduh bahawa Sultan Nazrin Shah telah campur tangan dalam keputusan yang menyebabkan pelantikannya dibatalkan. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast