KUALA LUMPUR – Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan Chegubard mendedahkan ada menteri yang dilihat cuba membodek Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pendedahan itu berdasarkan kepada screenshot perbualan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dengan seseorang menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam perbualan itu, Fuziah menyenaraikan empat menteri yang antaranya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Rezwan (kemungkinan besar Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof).
“Siapa menteri-menteri yang membodek tu?”, tanya seseorang di WhatsApp kepada Fuziah.
“Syed Sadiq, Rezwan, Xavier, Zuraidah,” jawab individu tertulis nama Fuziah Salleh.
Berdasarkan penelitian MalaysiaGazette, gambar profil dalam aplikasi WhatsApp adalah sama dengan gambar profil WhatsApp yang dimilikinya oleh Fuziah.
Di Facebook, Chegubard mendakwa Fuziah tidak berpuas hati dengan keempat-empat menteri itu yang bertindak membodek Mahathir berhubung isu Lynas.
“Ini print screen perbualan Timbalan Menteri JPM yang bertugas menjaga perihal berkaitan Agama Islam.
“Dia secara jelas menyalahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengarahkan Lynas disambung lesen. Kononnya dia tak bersetuju sebaliknya lesen Lynas berjaya disambung kerana ada anggota kabinet hanya tahu membodek PM. Fuziah menamakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman , A Xavier Jayakumar , Rezwan (tak pasti dia rujuk siapa kemungkinan @Redzuan Md Yusof ) dan Zuraida Kamaruddin ?
“Benarkah mereka dinamakan oleh Fuziah sebagai kaki ampu bodek hanya angguk dalam kabinet?,” dakwa Chegubard lagi. -MalaysiaGazette