Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat DAP mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantu para pekerja Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, bantuan sewajarnya perlu bagi membantu mereka menyara kehidupan sekiranya syarikat itu tidak lagi meneruskan operasi.

“Saya yakin kerajaan PH akan mengambil langkah sewajarnya dan memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada mereka di waktu sukar ini, di sebalik bertahun lamanya menjadi mangsa propaganda Utusan yang penuh dengan kepalsuan.

“Kerajaan PH ialah untuk seluruh rakyat Malaysia – untuk rakyat yang mengundi mereka dan juga yang tidak mengundi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lip Eng juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Ia ekoran dakwaan operasi Utusan melibatkan akhbar cetak Utusan Malaysia dan Kosmo! dikatakan akan ditamatkan operasi mulai esok.

Semalam, kira-kira 100 kakitangan dan bekas kakitangan Utusan hari ini berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.

Lip Eng dalam masa yang sama menghargai wartawan Utusan yang membuat liputan tentangnya selama ini dan berkata mereka boleh menghubunginya jika memerlukan “bantuan, nasihat undang-undang atau suara di Parlimen”.

“Saya tahu anda telah cuba terbaik untuk memberi liputan yang adil terhadap saya, terima kasih untuk itu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast