KUALA LUMPUR – Tindakan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) akan menggunakan National Skip School Day (Protes Ponteng Sekolah SeMalaysia) sebagai bantahan dan usaha terakhir meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi sungguh mengecewakan.
Walaupun bantahan tersebut hanya akan diadakan selepas mendapat persetujuan ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pengenalan tulisan Jawi di sekolah, namun cadangan tersebut dilihat tidak masuk ‘akal’ serta tidak bertanggungjawab.
Malah ibu bapa serta masyarakat India tidak bersetuju dengan tindakan Sekat itu yang disifatkan ‘melampaui’ batas dalam ‘perjuangan’ untuk kaum tertentu.
Begitu luahan Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah kepada MalaysiaGazette yang menyatakan cadangan tersebut langsung tidak mencerminkan pendirian masyarakat India di negara ini.
“Sebenarnya apa niat Sekat? Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu tentang cadangan seperti ini. Siapa yang beri anda idea-idea seperti ini? Adakah kumpulan anda ini berfikir panjang sebelum bercakap seperti ini?
“Siapa beri hak kepada kamu untuk cuba melibatkan para pelajar kita untuk bersama-sama ‘berpolitik’ seperti ini? Apa manfaat pelajar kita dengan tidak ke sekolah? Adakah ini benih permulaan untuk mereka ponteng sekolah selepas ini?
“Seandainya apa-apa melibatkan isu kaum, pelajar kita dinasihatkan untuk ponteng sekolah? Habis mereka buat apa di rumah? Adakah Sekat akan menghantar ‘cikgu’ khas untuk bantu mereka belajar dari rumah? Bantu mereka lulus peperiksaan? Senanglah kamu bercakap, yang terpaksa laluinya siapa?
“Jika KPM enggan ubah pendirian, berapa lama cadangan Sekat untuk biarkan pelajar-pelajar kita duduk di rumah? Tanpa pendidikan, apakah masa depan mereka?
“Saya mohon kepada yang terlebih ‘bijaksana’ di luar sana, jangan cuba libatkan pelajar dalam isu politik negara, isu perkauman dan sebagainya. Biarkan mereka belajar dengan tenang tanpa mengira kaum dan latarbelakang.
“Cukup-cukuplah, jangan cuba sesuatu atas nama perjuangan mahupun revolusi tetapi cuba mangsakan pelajar yang merupakan pelapis kita pada masa hadapan, jangan racuni mereka dengan politik,” tegasnya.
Setiausaha Gabungan Sekat, Arun Dorasamy mendesak KPM mempertimbangkan beberapa aspek sebelum membuat keputusan melaksanakan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahun depan.
“Pada akhirnya bila semua ini tidak berhasil, kami akan mengadakan National Skip School Day, Protes Ponteng Sekolah SeMalaysia dengan kerjasama semua ibu bapa yang tidak mahu anak mereka diajar atau dipaksa belajar Jawi. Ini langkah-langkah yang kita aturkan,” katanya semalam.
Jelas Shanmugam lagi, pihaknya tidak mempunyai bantahan seandainya mahu menentang pengenalan Jawi yang sebenarnya telah memberikan reaksi berbeza dalam kalangan bukan Melayu dan Islam di negara.
Sebaliknya kata beliau, seharusnya bantahan tersebut perlu berpada-pada tanpa melibatkan kepentingan pelajar-pelajar ini malah perlu lebih rasional dan bijak. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/25/tulisan-jawi-sekat-ajak-pelajar-ponteng-sekolah-sebagai-protes-terakhir/