KUALA LUMPUR – Prolintas Expressway Sdn. Bhd. (PESB), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan menutup dua simpang masuk ke lebuh raya berkenaan di Elmina bermula 27 April 2024 dalam usaha untuk menambah baik aliran lalu lintas di kawasan berkenaan.

Laluan ke Lebuhraya GCE yang ditutup ialah simpang masuk dari Elmina (Timur) menuju ke arah Rawang dan simpang masuk dari Elmina (Barat) menuju ke arah Shah Alam.

Tempoh percubaan penutupan itu dijalankan selama tiga bulan sehingga 26 Julai 2024 dan sekiranya langkah ini dilihat berjaya mengatasi isu kesesakan yang berlaku di lokasi, pihak pengendali lebuh raya bercadang untuk membuat penutupan kekal simpang berkenaan.

Penutupan itu telah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, pembangun hartanah dan persatuan penduduk.

Hasil perbincangan mendapati pengguna yang menggunakan simpang terbabit telah mengganggu aliran lalu lintas dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk terutama pada waktu puncak.

Susulan penutupan itu, pengguna diminta untuk membuat pusingan U di bulatan yang terletak di kedua-dua arah untuk mengakses susur masuk ke arah Rawang atau Shah Alam. – MalaysiaGazette