Zambry bersama Anwar pada Majlis Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kenyataan seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa Malaysia mahukan holocaust kedua disifatkan sebagai sesuatu yang biadap dan berbahaya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengingatkan terdapat perbezaan antara kebebasan akademik dengan menyentuh soal negara.

“Dalam hal ini, ia bukan soalan akademik. Ini soal kenyataan terhadap keselamatan, kedudukan dan imej negara dibuat daripada (orang ) luar (yang) datang (ke dalam negara) dengan membuat kenyataan terlalu celupar.

“Harus bezakan. (Ini) membuat kenyataan terlalu biadap dan sangat merbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Terdahulu, Universiti Malaya mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik AS menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Seorang profesor sains politik, Bruce Gilley, dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa holocaust kedua terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Zambry mengingatkan setiap universiti perlu melihat latar belakang ahli akademik yang ingin dijemput.

Katanya, walaupun menghormati mengenai kebebasan universiti tetapi, ahli akademik yang ingin diundang haruslah mempunyai nilai kesarjanaannya.

“Dalam jemput siapa pun. Lihat latar belakang seperti daripada segi kepakarannya. Bukan soal nak halang siapa pun. Saya ingatkan biar bawa yang benar-benar mempunyai nilai kesarjanaannya,” tambahnya.

Zambry turut mahu universiti berkenaan menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut kepadanya berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette