Kassim Selamat menjalani pembedahan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penyakit buasir sering dikaitkan dengan saluran darah vena membesar di bahagian bawah rektum dan dubur yang mana masalah itu boleh menimpa kepada sesiapa sahaja terutama wanita hamil.

Pesakit buasir ini perlu melalui saat getir beberapa peringkat antaranya mencapai tahap kronik hingga berlaku pendarahan ketika buang najis, usus dan saluran najis yang terkeluar sedikit.

Namun jangan terkejut penyakit itu juga dihidapi haiwan yang berdepan gejala sama seperti usus yang keluar di mana ia menimpa seekor anak kucing yang diberi nama Kassim Selamat.

Pemiliknya, Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi berkata, anak kucing berusia tiga bulan itu dibeli pada harga RM700 pada bulan lalu untuk adiknya dan pada awalnya disahkan haiwan itu tidak mengalami masalah kesihatan.

Namun dia mula perasan anak kucing baka British Short Hair (BSH) itu mengalami gejala dubur yang basah sebelum ususnya kelihatan terkeluar seperti kena buasir.

Mereka kemudiannya membuat keputusan menghantar Kasim Selamat itu ke klinik haiwan dan doktor memasukkan semula usus berkenaan sebelum menjahit bahagian dubur bagi menyempitkan bukaannya.

“Namun ususnya masih keluar beberapa kali dan kami sudah menghabiskan lebih RM2,000 untuk kos rawatannya walaupun baru mengambil kucing itu selama tiga hari,” kongsinya di media sosial.

Anak kucing baka British Short Hair ini mengalami gejala dubur yang basah sebelum ususnya kelihatan terkeluar seperti kena buasir.

Mengulas lanjut, Khairun Sofea yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur mengakui dia buntu dengan keadaan itu sebelum meminta pendapat dan nasihat dengan membuat hantaran di Facebook menerusi kumpulan pencinta kucing.

“Seorang rakan mencadangkan supaya ke klinik haiwan di Seremban namun memikirkan jarak dan tiada kenderaan, saya tidak teruskan.

“Bagaimanapun, seolah usaha saya ini dibuka jalan, doktor di klinik itu sendiri membalas komen dan hubungi saya sebelum memaklumkan sedia bantu. Malah dia sanggup ke Kepong mengambil anak kucing ini.

“Saya sebak kerana tidak pernah terfikir sejauh ini perjuangan menyelamatkan seekor anak kucing dan rupanya ramai yang sayang dan peduli dengan kucing sampai ke tahap ini,” katanya.

Sementara itu, pemilik Klinik Veterinar Chinta Qaseh, Dr Azliza Ahmad yang merawat kucing berkenaan berkata, dia tersentuh melihat perjuangan wanita itu yang mahu menyelamatkan haiwan dan memutuskan untuk membantu.

“Syukur juga hasil sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta kucing, mereka mengumpul dana bagi pembedahan haiwan ini dan selamat menjalani pembedahan pada 16 April lalu.

“Ususnya terkeluar sepanjang enam sentimeter dan saya tahu ia memang menyakitkan. Syukur juga kerana ususnya masih merah dan boleh diselamatkan yang mana mengikut pengalaman saya ada kucing yang ususnya sudah hitam dan akhirnya mati,” katanya. – MalaysiaGazette

Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi (kiri) dan Dr Azliza Ahmad.