Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendengar penerangan dari Jurutera Tempatan dan Pengawasan Reka Bentuk Projek, Ir Izam Razali ketika mengadakan lawatan kerja Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT 3210 Dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Datuk Alias di Hulu Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 19 MEI 2024.

HULU LANGAT – Kira-kira 52,000 kenderaan yang setiap hari menggunakan Jalan Persekutuan Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur bakal merasai keselesaan selepas projek naik taraf laluan persimpangan Jalan Dato’ Alias ke Batu 9 di sini siap sepenuhnya pada pertengahan 2026 nanti.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja naik taraf laluan sepanjang dua kilometer berserta jejambat bernilai lebih RM123 juta itu telahpun bermula sejak Ogos 2021 yang lalu.

Katanya, ketika ini laluan yang dinaik taraf dari dua lorong kepada empat lorong itu sedang dalam proses untuk disiapkan dan kontraktor yang mendapat tender berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya tanpa ada sebarang masalah.

“Pelaksanaan projek ini telah diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11.

“Objektif utama projek adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak yang berlaku di jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur dan juga untuk meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek berkenaan di sini, hari ini.

Turut serta pada sesi tinjauan itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz.

Alexander Nanta Linggi dan Jurutera Tempatan dan Pengawasan Reka Bentuk Projek, Ir Izam melihat pelan projek ketika mengadakan lawatan kerja Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT 3210 Dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Datuk Alias di Hulu Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 19 MEI 2024.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, terdapat beberapa lagi projek menaiktaraf sedang dirancang di daerah Hulu Langat memandangkan kawasan tersebut kini sedang rancak membangun dan memerlukan tumpuan daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Ujarnya, tinjauan turun padang perlu dilakukan bagi melihat keperluan tertentu di kawasan berkenaan sebelum permohonan untuk melaksanakan sesuatu projek diserah kepada Kementerian Ekonomi untuk kelulusan.

Ditanya mengenai isu banjir yang acap kali berlaku di kawasan Hulu Langat, Nanta Linggi berkata, perkara itu perlu mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana melibatkan struktur di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Sebab itu saya mengarahkan agar JKR cepat-cepatlah berjumpa dengan JPS untuk mengadakan mesyuarat bagaimana kita boleh bekerjasama sebab kita tak boleh ambil kerja orang.

“Kita juga berharap wakil rakyat di sini boleh bantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Sany berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) yang telah memberikan perhatian untuk menaik taraf jalan di kawasan Parlimennya.

Katanya, isu jalan sesak di kawasan tersebut merupakan salah satu daripada perjuangannya sejak menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Setiap kali persidangan di Parlimen saya akan bawa isu-isu besar di Hulu Langat inilah. Contohnya persimpangan besar di pekan Hulu Langat, simpang Batu 9 dan juga isu jalan di pekan Semenyih.

“Memang saya minta pihak kerajaan tengok jalan ni dan kalau boleh dinaik taraf sebab Hulu Langat ni kawasan yang sedang pesat membangun.

“Banyak projek-projek perumahan didirikan di dalam kawasan Parlimen ini. Lagipun Selangor ni merupakan negeri penyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), 25 peratus dalam negara ini.

“Sepatutnya Kerajaan Persekutuan kena tengok sikitlah daerah-daerah yang berhampiran dengan Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya ini seperti kawasan di Hulu Langat,” katanya. – MalaysiaGazette