Sebuah banglo dua tingkat yang dijadikan 'makmal' memproses sarang burung walit secara haram terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka di Taman Sutera Emas, Krubong 1, Melaka, lewat malam tadi.

MELAKA – Sebuah banglo dua tingkat yang dijadikan ‘makmal’ memproses sarang burung walit secara haram terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka di Taman Sutera Emas, Krubong 1, Melaka lewat malam tadi.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan 11.45 malam itu, 10 lelaki warga asing Bangladesh, dua warga tempatan masing-masing lelaki dan wanita serta dua wanita Myanmar kesemuanya berusia antara 35 hingga 51 tahun ditahan ketika sedang leka bekerja.

Ketika serbuan terdapat cubaan melarikan diri daripada kesemua orang kena adu (OKA) namun berjaya digagalkan sepasukan 19 pegawai dan anggota JIM yang sudah mengepung premis berkenaan.

Anirwan Fauzee Mohd Aini

“Siasatan awal mendapati, majikan wanita berusia 42 tahun mengaku menjadikan ruang tamu banglo dua tingkat itu yang disewa sekitar RM2,000 sebulan sebagai tempat memproses sarang burung walit dipercayai sejak tujuh bulan lalu untuk pasaran tempatan.

“Kesemua sarang burung walit yang dirampas dianggarkan bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000 berdasarkan harga semasa industri yang memberi pulangan lumayan pada harga sekitar RM3,500 hingga RM4,500 per kilogram.

“Premis berkenaan yang turut menjadikan tingkat atas sebagai hostel pekerja juga didapati tidak mempunyai sebarang lesen operasi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazatte hari ini.

Seramai 10 lelaki warga asing Bangladesh, dua warga tempatan masing-masing lelaki dan wanita serta dua wanita Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

Tambahnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut mengeluarkan tiga Borang 29 (Saman Kepada Saksi) iaitu kepada majikan, suaminya warga tempatan 39 tahun dan pengawal keselamatan banglo berkenaan berumur 51 tahun.

Menurut Anirwan, semua lapan lelaki warga asing Bangladesh dan dua wanita Myanmar dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk tindakan seterusnya.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen (15)(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa di negara ini dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah. – MalaysiaGazette