TEHRAN – Iran memberi amaran kepada tentera Amerika Syarikat (AS) bahawa angkatan bersenjata negara itu akan melancarkan serangan yang lebih “dahsyat dan meluas” terhadap kapal perang AS sekiranya Washington meneruskan tindakan agresif di rantau berkenaan.
Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Leftenan Kolonel Ebrahim Zolfaqari berkata, Angkatan Tentera Iran akan bertindak lebih tegas sekiranya tentera AS meneruskan “tindakan agresif”, mencetuskan ketidakamanan dan mengganggu kapal-kapal Iran, atau meneruskan sekatan laut terhadap Iran.
Dalam kenyataan beliau yang dipetik oleh agensi berita IRNA, angkatan bersenjata Iran akan menyasarkan kapal tentera AS di rantau itu dengan serangan yang “lebih dahsyat berbanding sebelum ini” sekiranya Washington berterusan dengan tindakan berkenaan.
Zolfaqari turut memberi amaran bahawa skop tindak balas ketenteraan Iran boleh diperluaskan sekiranya AS meneruskan langkah terhadap Iran.
Amaran itu dibuat selepas tentera AS memaklumkan bahawa pasukannya menyerang tiga kapal tangki minyak mentah Iran di Teluk Parsi dan Teluk Oman.
Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran supaya rakyat Iran “tidak terpedaya dengan AS”, sambil memberi amaran bahawa “sebarang gerakan mencurigakan akan menjadi sasaran”, susulan serangan tentera AS terhadap tiga kapal tangki minyak milik Iran.
Beliau berkata, tindakan agresif tentera “pengganas” AS itu akan menerima tindak balas tegas daripada Iran.
Tentera Laut IRGC badan itu berkata, tentera AS yang disifatkan sebagai “pengganas dan penceroboh” menyerang tiga kapal tangki minyak milik Republik Islam Iran pada pagi berkenaan.
“Wahai rakyat Iran yang tercinta, gagah dan sentiasa berwaspada; pagi ini, tentera AS yang pengganas dan penceroboh dalam tindakan biadab yang berpunca daripada keputusan menyerang tiga kapal tangki minyak milik Republik Islam Iran sehingga menyebabkan kerosakan,” menurut kenyataan itu. – Agensi
















