Peguam, V Kokila

KUALA LUMPUR – Kes wanita hamil yang mengalami keguguran ketika dalam tahanan serta pesakit kronik yang terus menjalani rawatan di penjara perlu menjadi pencetus kepada penelitian semula undang-undang berkaitan jaminan, kata peguam V Kokila Vaani.

Katanya beliau terpanggil untuk menjawab selepas artikel berkaitan seorang wanita hamil mengalami keguguran ketika berada dalam tahanan, kerana ia menyentuh soal lebih besar iaitu keseimbangan antara ketegasan undang-undang dadah dengan keadaan manusia yang berada dalam keadaan rentan.

“Sebagai peguam wanita, aspek kehamilan itu sememangnya menarik perhatian saya.

“Sukar untuk tidak berasa prihatin apabila kita mendengar mengenai kehilangan kandungan ketika seseorang sedang berada dalam tahanan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette hari ini tentang kebimbangan peguam Sivahnanthan Ragava berhubung ketiadaan ruang jaminan atas faktor kemanusiaan, susulan pendedahan mengenai anak guamnya yang mengalami keguguran ketika dalam tahanan dan seorang pesakit kanser tahap tiga masih menjalani kemoterapi di penjara.

Kokila, yang merupakan bekas Pengerusi Badan Peguam Selangor dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Majlis Peguam, berkata pada masa sama beliau memahami mahkamah terikat dengan peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak boleh mengabaikan sekatan jaminan yang ditetapkan undang-undang.

Menurutnya, Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 mengenakan sekatan ketat terhadap pemberian jaminan bagi kesalahan dadah tertentu, termasuk kesalahan yang membawa hukuman mati atau penjara melebihi lima tahun.

“Apabila Seksyen 41B terpakai, peruntukan am mengenai jaminan di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah tidak boleh begitu sahaja digunakan untuk membolehkan jaminan diberikan,” jelasnya.

Kokila berkata kedudukan itu telah diputuskan dalam beberapa kes mahkamah, termasuk kes membabitkan wanita hamil dan tertuduh yang mengalami penyakit serius.

Dalam kes Pendakwa Raya lawan Chew Siew Luan pada 1982, katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan sekatan khusus di bawah Seksyen 41B mengatasi peruntukan am berkaitan jaminan.

Begitu juga dalam kes Muraly Subramaniam lawan Pendakwa Raya pada 2021, katanya, Mahkamah Tinggi mendapati Seksyen 41B menghalang pemberian jaminan walaupun tertuduh mengalami masalah kesihatan serius termasuk kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

Lebih terkini, katanya, keputusan dalam kes Chan Ah Moi lawan Pendakwa Raya pada 2026 turut menunjukkan betapa terhadnya ruang budi bicara mahkamah apabila Seksyen 41B terpakai.

“Autoriti ini penting kerana ia mengingatkan kita bahawa walaupun keadaan seseorang tertuduh mungkin menimbulkan simpati, mahkamah tidak boleh mengenepikan sekatan jaminan yang ditetapkan dengan jelas oleh undang-undang,” katanya.

Namun, Kokila berpandangan masih ada ruang untuk membincangkan sama ada undang-undang perlu mempunyai mekanisme khas bagi keadaan kemanusiaan yang benar-benar luar biasa.

Beliau menegaskan, cadangan itu bukan bermaksud setiap wanita hamil atau pesakit tenat perlu diberikan jaminan.

“Persoalannya bukan sama ada setiap wanita hamil atau setiap tertuduh yang sakit tenat patut diberikan jaminan. Saya tidak fikir pendekatan itu juga wajar.

“Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada undang-undang patut menyediakan satu mekanisme terhad bagi membolehkan keadaan kemanusiaan yang benar-benar luar biasa dipertimbangkan,” ujarnya.

Katanya, jika jaminan tidak tersedia kerana sekatan undang-undang, tanggungjawab pihak berkuasa penjara dan perubatan menjadi lebih besar untuk memastikan golongan rentan mendapat rawatan sewajarnya sepanjang tempoh tahanan.

Bagi wanita hamil, jelasnya, penjagaan antenatal dan obstetrik yang sesuai perlu diberikan, manakala tertuduh yang menghidap penyakit serius perlu mendapat akses kepada rawatan pakar, ubat-ubatan serta rawatan susulan yang diperlukan.

Kokila turut melihat peruntukan Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sebagai satu perbandingan yang menarik.

Menurutnya, Parlimen telah menyediakan pengecualian terhad terhadap larangan jaminan bagi golongan tertentu yang rentan, termasuk wanita serta individu yang sakit atau uzur, tertakluk kepada perlindungan dan syarat tertentu.

“Sudah tentu SOSMA merupakan rejim undang-undang yang berbeza dan peruntukannya tidak boleh begitu sahaja diterapkan kepada pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Namun, ia menunjukkan Parlimen dalam konteks tertentu telah mengiktiraf bahawa rejim jaminan yang ketat masih boleh diseimbangkan dengan pertimbangan kemanusiaan yang ditakrifkan secara terhad,” ujarnya.

Beliau berkata pendekatan Singapura yang mempunyai mekanisme tertentu untuk mahkamah mempertimbangkan pembebasan tertuduh dalam keadaan tertentu juga boleh dilihat sebagai perbandingan ketika menilai semula Seksyen 41B di Malaysia.

Bagaimanapun, Kokila menegaskan sebarang perubahan undang-undang perlu dirangka dengan amat berhati-hati dan tidak boleh mewujudkan hak automatik kepada jaminan.

Katanya, ia sebaliknya perlu dihadkan kepada keadaan yang benar-benar luar biasa, disokong bukti perubatan yang kukuh serta tertakluk kepada syarat dan kawalan ketat.

“Pada akhirnya, saya melihat ini sebagai persoalan bagaimana kita mengimbangi kepentingan keadilan dengan belas ihsan.Prinsip seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah kekal penting.

“Pada masa sama, tertuduh yang hamil, sakit tenat atau berada dalam keadaan sangat rentan tetap berhak dilayan secara berperikemanusiaan sepanjang berada dalam tahanan,” ujarnya.

Kokila berkata isu berkenaan juga dekat dengan pengalaman beliau dalam bidang hak asasi dan hak kanak-kanak, termasuk ketika menerajui Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Majlis Peguam.

Menurutnya, perlindungan golongan rentan tidak sepatutnya hanya dilihat selepas berlaku sesuatu kejadian, sebaliknya perlu diberi perhatian sepanjang proses seseorang berada dalam tahanan.

“Mungkin persoalannya bukan sama ada kita perlu menjadi lembut terhadap kesalahan dadah. Sebaliknya, adakah dalam kerangka undang-undang yang tegas masih boleh diwujudkan sedikit ruang untuk ihsan dalam keadaan yang benar-benar luar biasa?” soalnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kokila berkata Majlis Peguam Malaysia telah menulis kepada Jabatan Penjara Malaysia bagi mengadakan pertemuan untuk membincangkan isu umum berkaitan individu yang berada dalam tahanan atau jagaan.

Katanya, penglibatan itu penting bagi memastikan kebajikan dan layanan terhadap golongan rentan dalam tahanan dapat dibincangkan secara konstruktif bersama pihak berkuasa berkaitan. -MalaysiaGazette

Keguguran bayi dalam tahanan, pesakit kanser tiada jaminan, peguam persoal ihsan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here