Sebahagian graduan institusi TVET di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. - Foto: KPKM

Oleh: Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail

TIDAK semua pengetahuan sesuai dijadikan bidang akademik. Tidak semua kemahiran perlu diijazahkan. Tidak semua institusi kemahiran perlu dinaik taraf menjadi universiti. Dan tidak semua tenaga pengajar perlu menjadi profesor untuk diiktiraf sebagai pakar.

Hampir semua amalan manusia boleh dijadikan bahan penyelidikan. Namun, itu tidak bermakna setiap amalan perlu diubah menjadi program PhD. Kemahiran mengimpal, memasak, membaiki enjin atau menghasilkan pertukangan halus boleh dikaji secara ilmiah. Tetapi kemahiran melakukannya dengan cemerlang tidak dengan sendirinya menjadi penyelidikan kedoktoran.

Menurut Standards: Master’s and Doctoral Degree MQA, kelayakan kedoktoran Tahap 8 menuntut pemahaman ilmu di barisan hadapan, sumbangan yang besar dan asli kepada sesuatu bidang atau amalan, serta penyelidikan yang ketat dan mandiri. PhD ialah kelayakan penyelidikan, bukan pingat umum bagi setiap bentuk kepakaran.

Seorang jurukimpal berkemahiran tinggi mungkin tidak menghasilkan teori baharu tentang metalurgi. Namun, beliau mungkin mampu menghasilkan sambungan yang lebih tepat, selamat dan kukuh daripada seseorang yang mempunyai PhD dalam bidang berkaitan. Yang seorang menguasai amalan; yang seorang lagi diuji dari sudut penyelidikan. Kedua-duanya bernilai, tetapi nilainya tidak sama jenis dan tidak seharusnya dipaksa menggunakan ukuran yang sama.

Prinsip yang sama terpakai kepada institusi. Kerangka Kelayakan Malaysia sendiri membezakan sektor akademik daripada sektor TVET. Pembezaan itu bukan penghinaan. Ia merupakan pengiktirafan bahawa kedua-duanya mempunyai tujuan, kaedah pembelajaran dan ukuran kecemerlangan yang berbeza.

Universiti lazimnya membina dan menguji ilmu melalui penyelidikan. Institut kemahiran, kolej komuniti dan politeknik pula perlu cemerlang dalam pembelajaran berasaskan pekerjaan, penguasaan teknologi, latihan amali dan keperluan industri. Menjadikan semuanya universiti tidak semestinya meningkatkan mutu. Kita mungkin sekadar menukar nama sambil
melemahkan fungsi yang asalnya sangat diperlukan negara.

Fenomena ini dikenali sebagai academic drift. Ia berlaku apabila institusi vokasional mula mengejar kedudukan, struktur dan budaya universiti sehingga programnya menjadi semakin akademik serta semakin jauh daripada pekerjaan dan amalan. Institusi akhirnya sibuk menawarkan ijazah, membina program PhD dan mengejar penerbitan, sedangkan bengkel, peralatan, hubungan industri dan kompetensi graduannya mungkin masih belum benar-benar kukuh.

Dasar TVET Negara 2030 meletakkan keperluan industri, kebolehpasaran dan pembentukan tenaga kerja berkemahiran sebagai teras TVET. UNESCO pula menekankan bahawa tenaga pengajar TVET memerlukan pengalaman bekerja dalam perusahaan serta latihan profesional berterusan.

Maka, bagi seorang pengajar kemahiran, pensijilan industri terkini, penguasaan mesin baharu dan keupayaan melahirkan graduan yang benar-benar kompeten mungkin jauh lebih relevan daripada memaksanya memperoleh PhD atau menerbitkan artikel semata-mata untuk kenaikan pangkat.

Ini tidak bermakna politeknik dan institusi TVET tidak boleh menjalankan penyelidikan atau menawarkan program peringkat tinggi. Penyelidikan gunaan, inovasi teknikal dan kerjasama industri memang perlu diperkukuh. Namun, semua itu hendaklah menyokong misi institusi, bukan mengubahnya menjadi salinan universiti penyelidikan.

Begitu juga, gelaran profesor tidak perlu dijadikan satu-satunya kemuncak kejayaan tenaga pengajar. Kita memerlukan laluan kenaikan pangkat yang setara dan bermaruah bagi pakar kemahiran, jurulatih utama, teknologis kanan serta tenaga pengajar berpengalaman industri. Mereka wajar dinilai melalui penguasaan bidang, pensijilan profesional, inovasi gunaan, mutu graduan, keselamatan kerja dan pengiktirafan industri.

Jika semua institut kemahiran mahu menjadi politeknik, semua politeknik mahu menjadi universiti dan semua pensyarah mahu menjadi profesor, kita bukan sedang memartabatkan TVET. Kita sedang mengisytiharkan secara tidak langsung bahawa identiti TVET itu sendiri belum cukup bermaruah.

Sebuah politeknik yang hebat tidak perlu menjadi universiti untuk membuktikan kehebatannya. Menjadi universiti bukan semestinya suatu kenaikan taraf. Kadangkala, ia hanyalah pertukaran fungsi. Dan sebuah negara yang bijaksana tidak memaksa semua institusinya menjadi serupa. Ia memastikan setiap institusi menjadi yang terbaik dalam tujuan penubuhannya.

Penulis dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here