Datuk Ramanan Ramakrishnan.

HULU SELANGOR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy perlu bertanggungjawab sekiranya nasib rakyat di Kuala Kubu Baharu tidak terbela susulan saranannya agar tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, sekiranya sokongan tidak diberikan kepada calon parti kerajaan, adakah Ramasamy boleh membantu rakyat di Kuala Kubu Baharu terutamanya kaum India.

“Bila kita cakap macam ini, dia cakap pandai untuk boikot tidak mengapa…(tetapi) jika ADUN yang menang selepas ini, bila dia tak dapat tolong mereka, adakah Ramasamy akan pergi tolong mereka (penduduk).

“Sebab saya banyak kali dah nampak, lepas menang kita (cakap) bukan kerajaan negeri, kita tiada peruntukan, kita tak boleh, adakah masa itu Ramasamy akan tolong mereka, saya tanya dia,” katanya kepada media selepas mengadakan Program Sembang Santai Vanakam Madani, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Ramasamy yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang menggesa agar masyarakat India memboikot PRK pada 11 Mei depan.

Malah, Ramasamy pernah menggesa Perikatan Nasional (PN) menamakan calon dari kaum India untuk PRK kali ini.

Dalam pada itu, Ramanan menyindir sekiranya ada dalam kalangan kaum India yang terpengaruh dengan Ramasamy supaya mengikut jejak langkahnya dan memohon bantuan daripadanya.

“Jangan nanti kalau dia tak boleh (bantu), saya minta siapa komuniti India yang yakin dengan dia dan ingat nasihat dia, betul ikutlah dia.

“Tapi, bila masalah datang saya minta dia datang berdepan dengan masalah dan selesaikan masalah penduduk, boleh?” katanya. – MalaysiaGazette