Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Jalan Pahang, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memanggil Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tidak menjejaskan peluang kemenangan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, malah ia tidak menjejaskan gerak kerja kempen jentera PN untuk memenangkan calonnya, Khairul Azhari Saut pada 11 Mei ini.

“Kita tidak pernah lemah semangat bahkan kita lebih tentukan lawan kerajaan Madani yang korup di Putrajaya dan Negeri, satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ia tidak beri kesan, kita terus berkempen dan kita memberikan penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Bharu, malam ini.

Terdahulu, Menteri Besar Perlis dipanggil memberi keterangan kepada SPRM Putrajaya hari ini susulan dakwaan salah guna kuasa.

Mohd Shukri dirakam keterangan berhubung penahanan anaknya dalam kes dakwaan tuntutan palsu berjumlah RM600,000 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin melahirkan rasa kesal apabila proses siasatan pihak berkuasa itu digunakan untuk menjejaskan calon PN dan mempengaruhi pengundi DUN Kuala Kubu Bharu.

“Tidak adil untuk menghukum mana-mana individu dengan hukuman berbaur fitnah seperti tajuk dalam banyak laporan media yang menyatakan bahawa Menteri Besar Perlis ditahan.

“Itu tidak adil, beliau hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan beliau mengambil tanggungjawab untuk bekerjasama dengan penyiasatan bagi memberikan keterangan,” katanya.

Menurut Azmin, sikap yang ditunjukkan Menteri Besar PN tidak berlaku dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Kita lihat sikap Menteri Besar PN apabila anak beliau juga dipanggil untuk memberi keterangan.

“Beliau menyebut secara terbuka rasmi, beliau telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa untuk mendidik anak dan warganya.

“Sekiranya didapati anaknya melakukan apa-apa kesalahan, hukumlah yang disiasat itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alaaaa…PRK jer pun..kalau nak pilih PN dapat apa? Boleh tukar kerajaan kaa? Lain lah PRU…lepas PRK, ahli politik semua hilang..rakyat di Kuala Kubu Bahru yg akan hadap…nak minta bantuan dgn sape kalau bukan dari kerajaan? So tak kira laa sape pun kerajaan, kalau saya lah akan undi kerajaan…nak undi pembangkang tak dapat apa pun

Comments are closed.