Anthony Loke
Anthony Loke

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) akan mula menggerakkan siri ceramah-ceramah besarnya bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bermula Jumaat ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa ini ceramah tetap diadakan namun hanya menerusi siri kelompok tanpa undangan media.

“Memang dari segi kempen pilihan raya kecil, permulaan kempen itu memang ceramah tak begitu panas lagi…jadi, kita mula dulu dengan ceramah kelompok.

“Walaupun tak ada ceramah besar dalam beberapa malam yang lalu, tetapi ceramah kelompok diadakan.

“Jadi, apabila ceramah kelompok ini fasa pertama diselesaikan, hujung minggu ini kita akan mula pula dengan ceramah besar pada Jumaat ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi bersama calon PH yang mewakili DAP, Pan Sock Tao di sini, hari ini.

Siew Fook ditanya media mengapa PH tidak begitu agresif mengadakan ceramah berbanding parti lawan Perikatan Nasional (PN) yang hampir setiap malam melakukan aktiviti itu sebagaimana kebiasaan dibuat oleh parti-parti politik dalam mana-mana pilihan raya.

Mengulas lanjut, kebiasannya di sebelah malam jentera dan calon akan melakukan ziarah rumah ke rumah serta mengadakan perjumpaan di bilik gerakan dan sebagainya.

Katanya, itu adalah cara berkempen yang dibuat oleh PH memandangkan situasi PRK kali ini adalah di kawasan luar bandar.

“Memang kawasan luar bandar ni kempennya berlainan sikit. Kalau di kawasan bandar kempennya tiap malam pada ceramah, tapi kawasan-kawasan luar bandar ini kita tak buat tiap-tiap.

“Tetapi, ceramah kelompok tetap diadakan, sebab kawasan ini bukannya semua pengundi bertumpu disatu tempat, tapi di banyak tempat. Jadi, kita fokus kepada lokaliti PDM (Pusat Daerah Mengundi masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette