KUALA LUMPUR – Empat buah premis yang menjual cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan itu dibuat di Kepong dan tiga lagi premis di Petaling Jaya pada 9 Mei lalu selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkaitan serta risikan awal.
Hasil pemeriksaan ke atas semua premis berkenaan, penguat kuasa KPDN menemui sejumlah 153 keping cermin hadapan kenderaan yang disyaki dipakai cap dagangan secara salah di Bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
Semua cermin hadapan kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM140,200 bersama beberapa dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan.
Dua lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit ditahan.
Menurutnya, syarikat itu akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Aktiviti Haram 2001.
KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran cap dagangan berdaftar yang sah terutama barangan alat ganti kenderaan kerana boleh mengancam nyawa pengguna.
Dalam pada iti, pengguna pula dinasihatkan sentiasa berhati-hato apabila membeli alat ganti kenderaan dan tidak menyokong penjualan barangan tiruan. – MalaysiaGazette
















