Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto MUHD NA’IM, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit sokongan terhadap permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sesuatu yang sumbang dan pelik daripada beberapa sudut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Ahmad Zahid itu tentunya akan mengheret kerajaan ke dalam krisis kepimpinan dan perlembagaan.

“Ini kerana ia jelas menolak dan menyokong cabaran terhadap keputusan kerajaan sendiri, terutama sekali apabila Zahid turut mendakwa bahawa anggota kerajaan mengetahui tentang kewujudan titah addendum tersebut sedangkan ia dinafikan oleh menteri yang lain atau paling tidak membisu tentangnya.

“Kedua, sebagai ketua parti, Pas juga berasa hairan mengapa Zahid perlu menunggu begitu lama, iaitu sehingga 9 April, untuk membuat “pendedahan” itu dengan memfailkan afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib sebelum itu sedangkan menurut dakwaan beliau Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya tentang kewujudan titah adendum tersebut pada 29 Januari lagi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Ahmad Zahid berkaitan titah adendum dalam kes pengampunan Najib.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.

Beliau berkata, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tidak mewakili mana-mana pihak dan afidavit yang ingin difailkan itu seolah-olah ‘terapung’.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar, selain mengambil langkah perlu dan bermaruah untuk membetulkan keadaan kerana taruhannya sangat besar.

“Ia bukan sahaja melibatkan kesejahteraan diri seorang individu, malah lebih penting ialah kemaslahatan negara dan rakyat serta keutuhan sistem kenegaraan kita yang tidak boleh dibiarkan terus tertekan dan tercabar oleh kelemahan dan kegagalan kerajaan serta kepimpinannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tindakan Tengku Zafrul membuat afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Ahmad Zahid menimbulkan pelbagai persoalan teras melibatkan antaranya integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan dan maruah Raja-raja Melayu.

“Pas percaya percanggahan ‘fakta’ antara dua orang menteri dalam kerajaan yang sama sehingga ia perlu “diperbetulkan” melalui tindakan undang-undang berkait bukan sahaja satu kes besar yang mendapat perhatian dunia, tetapi juga titah YDP Agong, memberi gambaran sangat buruk tentang keutuhan serta kerukunan kepimpinan kerajaan, selain mendedahkan sikap sebenar kerajaan berhubung kedudukan dan keutamaan perintah seorang Ketua Negara.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh beberapa kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang seolah-olah mahu berlepas tangan dan berdolak-dalik untuk tidak menjawab atau “terbabit” dengan isu berkenaan secara tuntas dan muktamad, terutamanya berkait persoalan kewujudan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara beliau di rumah sebagai sebahagian daripada pengampunan yang diterimanya,” ujar beliau.

Pihak pembelaan Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, afidavit diikrarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus penyataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Ia berikutan terdapat fakta yang didakwa tidak tepat dan perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Pada 17 April lalu, ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum disahkan ialah Ahmad Zahid.

Pada tarikh sama, Amarjeet menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aura Datuk Seri Najib Razak buat ramai takut terutama musuh-musuh politik baik secarang terang atau sebaliknya.
    Keupayaan DS Najib dalam mebawa Negara Malaysia ke landasan yang betul tidak disukai oleh-oleh mereka yang mahu mengkaut kekayaan negara untuk diri sendiri tanpa peduli nasib rakyat.
    Mereka mahu DS Razak dipenjara supaya perbuatan mereka tidak dihalangi oleh sebahagian orang yang berkepentingan dalam PH,PN mahu pun BN .Kerakusan petualang-petualang ini membuat rakyat lagi susah.

Comments are closed.