Sabariah Saidan menerima cenderamata oleh Pengerusi PERTIS, Mohd Bakri Mohd Said ketika membuat lawatan ke pusat berkenaan di cawangan Temerloh baru-baru ini

TEMERLOH – Pusat Aktiviti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Cawangan Pahang, dekat Temerloh, bakal dijadikan pusat pentadbiran pembelajaran al-Quran e-braille pertama di negara ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, pusat itu juga akan dijadikan kampus utama bagi pengkhususan pengajian tersebut.

Pusat  pengajian al-Quran itu  akan diselia dan dikendalikan oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

”Usaha untuk meningkatkan ilmu al-Quran dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di Pahang  terus dipertingkat melalui pembabitan pusat aktiviti golongan ini.

”Jadi kita berharap supaya tempat ini menjadi pusat pentadbiran penbelajaran e-braille yang pertama di Pahang dan saya rasa mungkin di Malaysia dan insya-Allah kerjasama dari UnIPSAS dengan Naib Canselornya Prof Dr Zawawi yang mengurus al-Quran e-braille ini.

”Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 30 OKU penglihatan di negeri ini celik al-Quran pada tahun ini melalui pembelajaran ini” katanya.

Tambah Sabariah, kerajaan negeri juga  memperuntukkan RM1.2 juta bagi pembelian al-Quran e-braille untuk membantu golongan tersebut

Sementara itu Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, sistem modul canggih daripada Jerman ini telah dibangunkan oleh anak tempatan bagi menjadilkan proses pembelajaran al-Quran e-braille menjadi mudah dan berkesan.

Manakala Pengerusi Pertis,  Mohd Bakri Mohd Said menzahirkan kesyukuran atas usaha daripada kerajaan negeri dan UnIPSAS dalam membantu golongan istimewa celik al-Quran dengan aplikasi teknologi.

“Jika dahulu golongan OKU mempelajari kitab suci ini dengan menggunakan kaedah lama seperti buku braille, namun menerusi kaedah al-quran e-braille, pembelajaran kini dilihat berkesan kerana mampu menguasai lebih cepat daripada sebelumnya.– MalaysiaGazette